Wujudkan aplikasi banteras premis judi, aktiviti haram - PPIM
Harits Asyraf Hasnan
Februari 16, 2017 16:21 MYT
Februari 16, 2017 16:21 MYT
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan membangunkan sebuah aplikasi yang membolehkan orang ramai mengemukakan laporan aktiviti haram yang berlaku di kawasan setempat.
Pengarah Unit Tindakan Khas (UTK) PPIM, Muhammad Yusuf Azmi berkata aplikasi itu akan menjadi platform bersepadu yang memudahkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
"Kita melihat, wujudkan satu aplikasi mengambil contoh GrabCar dan Uber di mana mungkin ia boleh diguna pakai atau transform dengan lebih baik lagi dan saya rasa pelaksanaannya akan lebih berkesan.
"Kita mahu aplikasi ini dilaksanakan kerana akhirnya pengguna mempunyai saluran yang boleh menyampaikan aduan terus kepada polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya pada pada sidang media di sini hari ini.
Tambahnya lagi, beberapa siri perbincangan bersama PBT dan polis telah dibuat, namun belum ada respons positif.
"Mereka menjelaskan dan kita berpuas hati dengan apa yang disampaikan kerana mereka kata amat sukar menumpaskan premis dan mesin judi kalau tidak ada kerjasama antara PDRM, Imigresen dan sebagainya.
"Saya rasa benda itu perlu kerana Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid sendiri telah memberi arahan supaya mengambil tindakan kepada pihak yang melindungi premis judi haram," katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Latihan dan Pembangunan Sosial PPIM, Dr Izham Nayan berkata menerusi tinjauan pihaknya serta beberapa NGO lain, terdapat lebih 130 premis judi haram beroperasi di dalam daerah Sepang.
"Di tangan saya ini ada senarai 136 premis judi di kawasan sepang sahaja. Ustaz kita susah payah dengan ahli-ahli dia pergi buat tinjauan. 136 premis judi di Sepang sahaja. Tuan-tuan bayangkan.
"Apa lagi yang kita nak cerita. Sepang itu bukan besar mana. Pekan itu bukan ada apa pun. Apa nak jadi dengan masyarakat kita? Belum lagi cerita Nilai mahupun Kajang. Soalnya masyarakat kita dikelilingi premis judi yang berleluasa," katanya.
Justeru, beliau berharap satu penyelesaian konkrit dapat dibuat dalam menangani gejala tersebut yang turut membelenggu remaja Islam.