Wujudkan agensi urus tadbir pengurusan kejuruteraan angin - Pakar

Madiha Abdullah
Januari 29, 2022 04:18 MYT
Urus tadbir yang kemas dapat membantu merencana tindakan berkesan dan mampu mengurangkan ancaman serta mengelakkan bencana. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memikirkan untuk mewujudkan sebuah agensi yang memberi tumpuan terhadap pengurusan kejuruteraan angin, termasuk membabitkan ribut petir.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Pahang, Dr Noram Irwan Ramli berkata hal ini penting kerana urus tadbir yang kemas dapat membantu merencana tindakan berkesan dan mampu mengurangkan ancaman serta mengelakkan bencana.
"Ribut petir fenomena biasa dan kerap berlaku di kawasan khatulistiwa dan hutan hujan tropika, terutama ketika perubahan monsun.
"Angin kencang berlaku disebabkan faktor seperti lokasi atau geografi dan topografi.
"Di Kedah dan Perlis, faktor topografi main peranan kerana banyak kawasan lapang, tiada penahan angin dan angin terus bertiup ke arah bangunan.
"Di Lembah Klang juga faktor topografi tetapi kesan akibat pembinaan bangunan. Sebab itu, di negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat, mereka buat pelbagai ujian dan kajian sebelum sesebuah bangunan dibina, untuk lihat apa kesan pada bangunan sedia ada," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, hari ini.
Jelasnya, mengikut data yang dikeluarkan Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia), fenomena angin kencang dan ribut yang berlaku sejak beberapa hari lepas merupakan fenomena biasa, namun ia mengakibatkan kerosakan harta benda dan infrastruktur yang agak ketara.
"Ribut ini perkara biasa, sejak dahulu lagi tetapi kerosakan yang berlaku adalah minimum, jadi kita tidak alert. Berbeza kebelakangan ini, di Shah Alam dua hari lepas, bumbung parking pun tercabut. Ini merbahaya.
"Kerajaan kena fikirkan tindakan dan kaedah untuk urus fenomena ribut sebab ia akan berlaku setiap tahun. Bangunan baharu mungkin boleh direka bentuk dengan cara memahami kesan angin, tetapi yang saya bimbang ialah bangunan dan struktur lama.
"Mungkin boleh dijalankan audit untuk lihat integriti bangunan lama, adakah ia mampu bertahan dan tidak akan menyebabkan kerosakan dan akibatkan kemalangan jiwa apabila ribut melanda.
"Pasar malam atau bazar Ramadan, kalau ada amaran dari pihak METMalaysia, perlu tunda untuk elak berlakunya kemalangan jiwa," katanya lagi.
Cuaca | Gagal mengurus boleh menyebabkan bencana
#ribut #bencana alam #hujan lebat #kejuruteraan angin