Wujudkan agensi tunggal urus TVET menerusi Ekonomi Madani - NUTP
Bernama
Julai 27, 2023 07:00 MYT
Julai 27, 2023 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Sebuah agensi tunggal dicadang ditubuhkan bagi menyelaras program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya lebih terurus dan berfokus menerusi Ekonomi MADANI yang dilancarkan hari ini.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang berkata ini memandangkan pelbagai usaha diutarakan bagi memperkasakan TVET sebelum ini, namun hasilnya masih kurang memberangsangkan.
"Masalah utama di negara ini, terlalu banyak kementerian, agensi dan organisasi yang menganjurkan program berkenaan.
"Sudah tiba masanya, TVET di negara ini dibuka jalan ke arah melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan perkembangan teknologi di seluruh dunia," katanya kepada Bernama pada Khamis.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Ekonomi MADANI antara lain mahu pendidikan negara lebih berminda permintaan dengan mengeratkan kerjasama antara industri dan majikan terutama dalam pelaksanaan TVET seperti dilakukan Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang.
Bagi sektor pendidikan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) juga akan diteruskan di bawah kerangka ekonomi itu bagi memastikan semua sekolah dilengkapi Internet.
Dalam hal ini, Aminuddin mencadangkan agar perhatian turut diberikan kerajaan dalam isu kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada sekolah selain akses Internet, yang menurutnya rata-rata kelengkapan itu di sekolah dalam keadaan daif.
"Hal ini sehingga menyebabkan guru terpaksa menggunakan peralatan sendiri khususnya komputer riba untuk menjalankan tugas pentadbiran dan pengajaran.
"Pelaksanaan pelbagai kursus berkait dengan pendigitalan juga perlu diadakan secara bersemuka kepada guru, khasnya guru senior agar mereka tidak tertekan dengan perkembangan pantas teknologi maklumat," katanya.
Aminuddin berkata NUTP menyambut baik setiap inisiatif sektor pendidikan seperti diumumkan Anwar, khususnya komitmen kerajaan ke arah persekitaran yang selesa serta kemudahan terbaik untuk murid, namun pertambahan peruntukan untuk penyelenggaraan sekolah perlu disegerakan.
"Pihak NUTP juga amat gembira dan berterima kasih kepada Perdana Menteri apabila isu sekolah daif turut diberikan perhatian. Isu ini tidak boleh sekadar menjadi retorik pihak berkaitan, tetapi perlu dizahirkan pelaksanaannya secara lebih efektif," katanya.
-- BERNAMA