Wujud mekanisme tingkatkan keharmonian antara agama - Najib Razak

Tan Su Lin
Februari 24, 2016 19:04 MYT
NAJIB: Usaha memupuk persefahaman dan keharmonian perlu dilakukan secara sedar kerana ia tidak boleh dibiarkan berlaku secara sendirinya. - Gambar Fail
Bagi memupuk perpaduan nasional, usaha bagi mengukuhkan integrasi antara masyarakat perlu dilakukan secara berterusan dan terancang.
Untuk tujuan itu, Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Agama ditubuhkan kerajaan bagi memupuk persefahaman dan harmoni antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata persefahaman dan keharmonian itu juga perlu berlandaskan perlembagaan serta rasa hormat dan toleransi antara satu sama lain.
"Usaha ini perlu dilakukan secara sedar kerana ia tidak boleh dibiarkan berlaku secara sendirinya. Ia perlu dilakukan secara formal dan berinstitusi serta dirancang dengan baik."
"Kita mungkin ada keharmonian nasional tetapi kita perlu menjurus kepada satu tahap lebih ideal iaitu perpaduan negara dalam erti kata sebenar," katanya ketika berucap menyampaikan watikah pelantikan ahli Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama di sini, hari ini.
Seramai 32 wakil terdiri daripada pemimpin agama dan masyarakat selain ahli akademik serta pertubuhan bukan kerajaan, NGO menerima watikah pelantikan berkenaan yang berkuatkuasa 1 Januari 2016 hingga 31 Disember 2017.
#awatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Agama #Muhibah #Najib Razak #perpaduan
;