Wujud kartel telur ayam? MyCC siasat

Luqman Hariz
Disember 13, 2018 15:06 MYT
Suruhanjaya Persaingan Malaysia tidak menolak kewujudan "kartel telur ayam" untuk mengekalkan harga barang itu pada paras yang tinggi di dalam pasaran.
Kenaikan mendadak harga telur ayam di seluruh negara baru-baru ini mendorong Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membuka penyiasatan ke atas perkara itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, suruhanjaya itu berkata ia sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengenal pasti sebarang elemen anti-persaingan yang mungkin berlaku di dalam pasaran.
“Selain daripada isu pencatutan yang mungkin menjadi penyebab kepada isu kenaikan harga telur ayam, Suruhanjaya turut melihat kepada perlakuan anti-persaingan yang diamalkan oleh perusahaan seperti kartel penetapan harga, pembahagian kawasan persaingan dan menghadkan pengeluaran secara sengaja,” kata kenyataan itu.
BACA: MyCC siasat isu kenaikan mendadak harga telur ayam
Tambahya, MyCC juga akan menyiasat harga harian telur ayam, jumlah pengeluarannya, pengeksportan telur ayam ke luar negara yang meningkat kebelakangan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail tidak menolak kewujudan “kartel telur ayam” untuk mengekalkan harga barang itu pada paras yang tinggi di dalam pasaran.
“Suruhanjaya akan menggunakan segala kuasanya yang ada di bawah Akta Persaingan 2010 untuk berkerjasama rapat dengan pihak berkepentingan yang relevan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana perusahaan yang terlibat dalam sebarang kegiatan kartel demi memastikan kesejahteraan serta kepentingan pengguna di Malaysia kekal terpelihara” katanya.
#Akta Persaingan 2010 #harga barang #harga barang dapur #harga makanan #harga telur #Iskandar Ismail #kartel telur #MyCC #Suruhanjaya Persaingan Malaysia #telor #telur #telur ayam #telur mahal
;