Wujud ekstremis politik, sosial di Malaysia - Dr Ahmad
Israr Khalid
Mac 22, 2021 23:22 MYT
Mac 22, 2021 23:22 MYT
KUALA LUMPUR: Selain ketaksuban dalam agama, harus diakui juga bahawa wujud ekstremis dalam politik dan sosial di negara ini.
Menurut Penolong Profesor Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM), Dr Ahmad Muhammady, isu itu dilhat semakin menjadi-jadi dan perlu diberikan perhatian.
“Contohnya ada sekumpulan orang yang meletakkan gambar atau simbol komunis yang anti sistem beraja misalnya, ini adalah satu bentuk ekstremisme politik yang bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan," katanya.
Beliau merujuk kepada beberapa insiden serbuan pihak polis terhadap premis yang memaparkan ikonografi dan imej komunis China dan pemimpinnya, Mao Tse-tung di Melaka dan Pulau Pinang awal tahun ini.
Bukan itu sahaja, katanya isu ketaksuban itu perlu juga dilihat dalam konteks yang lebih luas iaitu dalam senario bertentangan antara parti politik tanah air.
Kata Dr Ahmad, tidak mustahil apa yang ditonton di televisyen dan internet boleh berlaku di Malaysia, sekiranya kita tidak menyedari kewujudannya, memadam baranya untuk mengelaknya daripada marak dan memusnahkan keamanan dan keharmonian negara.
“Jadi apa yang berlaku di Barat jangan sangka tak boleh berlaku di kawasan kita,” ujarnya.
Ujar beliau, lebih-lebih lagi dalam dunia tanpa sempadan hari ini, pelbagai idea radikal dan ekstrem boleh sampai dan menyusup masuk ke pemikiran individu yang memiliki akses luas kepada pelbagai jenis platform di alam maya.
Semestinya, pentas ini dimanfaatkan oleh gerakan ekstremis tidak kira apa bentuknya untuk menyuntik doktrin mereka ke khalayak yang luas.
Menurut Dr Ahmad, kecanggihan teknologi siber membuka ruang kepada dimensi peperangan bentuk baharu menggunakan platform seperti media sosial dan laman web gelap.
“Bila masuk tahun 2000 dan ia bergerak sehingga hari ini, satu perubahan yang cukup besar dalam dunia militan iaitu menggunakan media. Kalau dulu dia punya ‘battlefield’ itu adalah di medan perang sahaja (secara fizikal), tetapi ‘millenials’, bentuk baharu medan perang adalah dalam ruang siber.
“Tidak kira kumpulan Islamis ke, Right Wing ke dan seumpamanya, mereka bukan sahaja menggunakan media sosial tetapi web gelap dan juga dengan Bitcoin untuk berurusan,” katanya lagi.
Tonton temubual penuh beliau bersama hos, Nazri Kahar dalam Agenda AWANI.
Agenda AWANI: Islamofobia, xenofobia sukarkan perdamaian antara kaum di negara barat