Wujud acara niche di setiap negeri seperti LIMA, promosi produk pelancongan - Uzaidi
Madiha Abdullah
Mei 25, 2023 21:01 MYT
Mei 25, 2023 21:01 MYT
KUALA LUMPUR: Semua negeri di Malaysia perlu mencari ruang menganjurkan acara bercorak niche setempat bagi mempromosikan sektor pelancongan masing-masing.
Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata, ini berdasarkan kejayaan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang berjaya membuka prospek pelancongan lebih luas dalam negara.
"LIMA menjadi pintu untuk pelancong datang ke sini dan selepas ini mereka akan pergi ke tempat-tempat lain untuk post-tour. Saya nampak Kuala Lumpur pun menerima tempahan pelawat dari Langkawi, mereka mahu melancong dahulu sebelum pulang ke negara masing-masing.
"Kalau boleh semua negeri mewujudkan satu killer event, ini lebih baik. Langkawi ada LIMA, Sarawak ada Festival Borneo Rainforest, jadi saya harap negeri lain ada sekurang-kurangnya satu acara homegrown.
"Memang akan mengambil masa untuk promosi dan bina jenama, tetapi untuk jangka panjang, negara akan dapat manfaat bukan saja industri pelancongan tetapi juga komuniti tempatan seperti kedai, restoran dan gerai-gerai," katanya kepada Astro AWANI, pada Khamis.
Jelasnya, acara yang dimaksudkan tidak semestinya memerlukan peruntukan besar dan membabitkan teknologi tinggi seperti LIMA, tetapi cukup sekadar memperkenalkan keistimewaan produk tempatan.
"Contohnya Kelantan. Di sana ada berpuluh jenis hidangan nasi yang sedap. Jadi kalau dibuat satu pesta nasi, kita boleh panggil Asia Rice Festival, ia boleh jana ekonomi dan pelancongan.
"Di Perlis pula ada Harumanis, mungkin boleh diadakan Mango Festival yang boleh memberi imbuhan besar kepada peniaga dan pengusaha kecil dan sederhana juga," ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau berharap pihak penganjur tidak hanya menumpukan perhatian terhadap acara utama tetapi juga pengisian acara sampingan.
"LIMA contohnya, memang mempunyai jenama yang kuat tetapi pengisian harus diperbanyakkan. Contoh untuk pasangan atau ahli keluarga. Kalau suami hadiri pameran, isteri mungkin membeli-belah atau adakan acara wellness.
"Saya harap Langkawi boleh memperbanyakkan experience tourism bagi memberi pelancong merasai pengalaman berbeza.
"Kedua, beri platform kepada usahawa tempatan kembangkan bisnes. Ini masa sesuai untuk mereka promosi produk setempat, jadi penganjur kena beri ruang supaya limpah manfaat dari killer event seperti LIMA dapat dinikmati komuniti setempat juga," katanya.