WUF 2022 buka tirai ketika dunia berdepan dengan krisis 4C
Mohd Dzulfitri Md Yusuf
Jun 26, 2022 14:36 MYT
Jun 26, 2022 14:36 MYT
KATOWICE: World Urban Forum (WUF) 2022 membuka tirainya pada Ahad dengan matlamat untuk mencari penyelesaian terbaik ketika dunia berdepan dengan empat krisis terbesar dalam sejarah.
Dianjurkan Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat), forum penting ini akan menjadi medan perbincangan dasar pembangunan urban yang lebih lestari untuk masa akan datang.
Menurut Pengarah Eksekutif UN Habitat, Datuk Seri Maimunah Mohd Shariff, penganjuran WUF kali tepat pada masanya ketika masyarakat dunia berdepan dengan empat krisis terbesar yang berlaku secara serentak.
Inilah masanya untuk kita berkongsi kepakaran, idea dan impian untuk masa depan yang lebih baik, dan tindakan perlukan dilakukan sekarang.
“‘Dunia berada di titik pertemuan empat krisis terbesar dunia yang saya istilahkan sebagai krisis 4C iaitu COVID-19, perubahan iklim (climate change), krisis yang bencana semulajadi seperti banjir atau perang (disaster crises) dan juga krisis modal (capital) yang berkaitan dengan sumber manusia atau pendanaan.
“Di sebalik cabaran ini, saya percaya WUF 2022 adalah platform terbaik untuk kita mencari jalan penyelesaian," kata Maimunah di sidang media yang diadakan di Pusat Kongres Antarabangsa Katowice.
Selama empat hari yang akan datang, Katowice, sebuah bandar yang dahulunya merupakan kawasan lombong arang batu akan menjadi tuan rumah kepada lebih 20,000 peserta WUF 2022 yang terdiri daripada pembuat dasar, pakar perbandaran terbaik dunia dan golongan muda dari 170 buah negara.
Pelbagai sesi forum, perdebatan, mesyuarat serta sesi libat urus akan diadakan sehingga hujung bulan ini dalam acara yang mengangkat tema ‘Transforming Cities for a Better Urban Future’.
Matlamat akhir WUF adalah untuk membangunkan kerangka cadangan dan idea untuk pembangunan perbandaran yang lebih lestari seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan PBB.
Delegasi Malaysia di WUF 2022 diketuai oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut akan melancarkan Indeks Daya Huni Malaysia (Idam) dan Pavillion Malaysia di WUF 2022.