WTCKL terima kunjungan Menteri Pembangunan Sosial Singapura

Astro Awani
Februari 4, 2022 19:25 MYT
Irmohizam (kanan) dan Masagos ketika kunjungan di WTCKL hari ini - Foto FB Irmohizam
KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini menerima kunjungan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura, Masagos Zulkifli.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, menerusi kunjungan tersebut, perbincangan berhubung pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) telah diadakan.
Selain itu, Irmohizam berkata pihaknya turut menyentuh mengenai hubungan perdagangan serta rangkaian antara WTCKL dan Singapura.
"Saya amat berbesar hati untuk mempersembahkan kepada beliau buku-buku oleh penulis terkenal negara Syed Muhammad Naguib Al-Attas sebagai tanda penghargaan saya.
"Di samping itu, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih atas laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Lorong Perjalanan Bervaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura kerana ini sudah pastinya akan meningkatkan lagi hubungan industri Acara Perniagaan (BE) antara kedua-dua buah negara," katanya dalam kenyataan di laman Facebook, di sini pada Jumaat.
BACA: Menteri Singapura Masagos Zulkifli adakan lawatan kerja tiga hari ke Malaysia mulai Khamis
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura di Malaysia, Gopala Menon; Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura di Malaysia, Loy Hui Chien; Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di Malaysia, Warran Kalasegaran; dan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura, Kadir Maideen Mohamed.
Jelas Irmohizam, beliau dan Masagos sudah lama mengenali, dan pertemuan tersebut suatu yang bermakna.
#PICKids #WTCKL #berita Malaysia #ekonomi #Masagos Zulkifli #Singapura
;