WTCKL pusat konvensyen dunia pertama guna teknologi hijau
Astro Awani
Oktober 13, 2022 05:00 MYT
Oktober 13, 2022 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WCTKL) menempa sejarah tersendiri apabila menjadi pusat konvensyen pertama di dunia mengaplikasikan teknologi hijau di bangunan mereka.
Pengarah Urusan Kumpulan WCTKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, bangunan itu kini dipasang dengan sistem panel solar di atas bumbungnya yang berkapasiti 501 kilowatt peak (kWp).
Menurutnya, sistem solar yang dipasang itu membekalkan sehingga 650,000 kilowatt jam (kWh) tenaga bersih setiap tahun dan mengurangkan 500 tan matrik karbon dioksida pada setiap tahun.
Tambah beliau, sistem tersebut juga menjimatkan sekurang-kurangnya 30 peratus penggunaan tenaga elektrik WTCKL iaitu antara RM100,000 dan RM120,000 setiap bulan.
“Ini merupakan satu lagi kejayaan dengan kerjasama Burj Energy International Management Ltd dan Itramas Corporation Sdn Bhd untuk melonjakkan nama Malaysia terutama sekali bagi ekosistem acara perniagaan.
“Ia juga mampu memberi keyakinan kepada dunia terutama sekali dalam meletakkan WTCKL sebagai salah satu venue bagi acara perniagaan di peringkat dunia.
"Di samping itu, ia juga akan memberikan ekosistem baharu dalam menjaga alam sekitar.
“Usaha ini selaras dengan gerakan ‘go green’ dan WTCKL merupakan pusat konvensyen pertama di negara kita melakukan inisiatif seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Platform Pembiayaan Teknologi Hijau Itramas – Burj Energy di sini semalam.
Irmohizam berkata, pemasangan sistem solar di WTCKL telah bermula beberapa tahun lalu namun tertangguh disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tambah beliau, sistem itu juga penting bagi memastikan pusat konvensyen itu terus diyakini sebagai lokasi berprestij untuk menganjurkan acara perniagaan bertaraf antarabangsa.