WTCKL galak pekerja, pengunjung pakai pelitup muka

Astro Awani
September 7, 2022 18:12 MYT
Irmohizam Ibrahim berkata, galakan itu dibuat bagi memastikan tahap kesihatan dan keselamatan mereka yang mengunjungi WTCKL sentiasa dalam keadaan terjamin dan memberikan pengalaman yang selesa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menggalakkan para pekerja dan pengunjung untuk memakai pelitup muka walaupun ia tidak lagi diwajibkan di kawasan terbuka dan tertutup.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, galakan itu dibuat bagi memastikan tahap kesihatan dan keselamatan mereka yang mengunjungi WTCKL sentiasa dalam keadaan terjamin dan memberikan pengalaman yang selesa.
Dalam masa sama, beliau berkata, WTCKL juga menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta komited untuk mengambil langkah-langkah keselamatan yang proaktif.
"Kami telah bekerjasama rapat dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NOISH) dalam menilai kualiti udara dalam premis agar memberikan persekitaran yang selamat.
"Amalan ini amat penting untuk keselamatan semua kakitangan yang berada di dalam bangunan pada bila-bila masa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
BACA: Pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan
Mengulas lanjut, Irmohizam berkata, WTCKL juga akan terus melakukan proses sanitasi di kawasan yang disentuh dan semua kemudahan yang disediakan secara lebih kerap.
Dalam pada itu, beliau menambah, WTCKL turut mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan iaitu semua pramusaji perlu sentiasa memakai sarung tangan dan pelitup muka ketika bertugas.
"WTCKL tidak akan menjejaskan mana-mana tahap keselamatan, sebaliknya mematuhi garis panduan kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa serta-merta.
Khairy berkata, pemakaian pelitup muka dalam bangunan dan kawasan tertutup kini adalah atas pilihan sendiri.
#Pelitup muka tak wajib #Khairy Jamaluddin pelitup muka #Kementerian Kesihatan #Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim
;