WSSF 2025: Malaysia pimpin usaha perkasa perlindungan sosial tempatan, global

Astro Awani
Jun 19, 2024 17:45 MYT
Setiausaha Agung ISSA, Marcelo Abi-Ramia Caetano (kiri) bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong. - Foto Perkeso
KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menjadi tumpuan dalam merencana usaha memperkasa perlindungan sosial di peringkat tempatan dan global, sempena penganjuran Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, forum berskala antarabangsa itu bertepatan dengan cabaran baharu berkenaan aspek keselamatan sosial yang sedang dihadapi seluruh negara ketika ini.
Beliau menjelaskan, antara isu utama yang perlu ditangani adalah kesan langsung daripada penuaan masyarakat dan kelestarian dana pencen, serta merancang sistem keselamatan sosial terbaik bagi pekerja sektor gig.
“WSSF 2025 diyakini berupaya menjadi wahana untuk seluruh dunia berkongsi strategi dan langkah ke hadapan yang sewajarnya, demi memastikan siri cabaran ini ditangani bermula dari sekarang.
“Kita tidak boleh alpa dan berlengah kerana fenomena masyarakat menua bakal memberi tempias yang amat mendalam, termasuk membabitkan unjuran semasa berkaitan kelestarian dana pencen bagi penggiat sektor gig.
“Justeru, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengadakan perbincangan dengan International Social Security Association (ISSA) untuk memastikan WSSF 2025 berupaya mencapai matlamat, selain menjadi wadah mencerminkan tekad Malaysia dalam perjuangan hak asasi manusia dan perlindungan sosial, khususnya golongan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Steven Sim dalam lawatan kerja rasmi sulung ke Geneva baru-baru ini turut mengadakan perbincangan dengan ISSA di ibu pejabatnya bagi memperhalusi beberapa agenda, terutama dalam memperkasa rencana jaringan keselamatan sosial di Malaysia dan meneliti perkembangan sektor ekonomi gig.
Perbincangan juga meliputi agenda ‘Seminar Teknikal: Keselamatan Sosial untuk Pekerja Sendiri dan Pekerja Platform’ yang akan diadakan pada 27 hingga 28 Ogos 2024, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Penganjuran seminar ini, melalui kerjasama antara Perkeso, ISSA dan KESUMA adalah penting untuk merungkai isu-isu semasa dan merencana penyelesaian berkesan bagi melindungi pekerja dalam ekonomi gig.
Turut hadir, Ketua Bahagian Strategi dan Transformasi Perkeso, Edmund Cheong Peck Huang, Setiausaha Agung ISSA, Marcelo Abi-Ramia Caetano dan Pengarah Pembangunan Keselamatan Sosial ISSA, Raul Ruggia-Frick.
Sementara itu, Steven Sim berkata, Malaysia ketika ini giat merintis penambahbaikan menerusi pindaan akta berkaitan untuk menepati Konvensyen Keselamatan Sosial (Standard Minimum) 1952 (Konvensyen 102).
Beliau berkata, usaha sedemikian selari dengan tekad kerajaan ke arah reformasi dasar dan institusi kepentingan awam yang menjadi antara tonggak prinsip Kerajaan MADANI.
“Dengan ratifikasi Konvensyen 102, Malaysia boleh mengukuhkan lagi perlindungan sosial dan menjamin faedah yang mencukupi bagi pekerja serta keluarga mereka,” tambahnya.
#WSSF 2025 #Menteri Sumber Manusia #Steven Sim Chee Keong #KESUMA #ISSA
;