World Saree Day Malaysia perkenal keunikan sari, beri kesedaran tentang sindrom down
Bernama
Mac 2, 2023 08:40 MYT
Mac 2, 2023 08:40 MYT
KUALA LUMPUR: Memperkenal keunikan dan budaya pemakaian sari di Malaysia sambil memberi kesedaran tentang Sindrom Down menjadi matlamat penganjuran acara pertunjukan fesyen World Saree Day Malaysia.
Pengarah programnya Bkay Nair berkata program yang bakal menampilkan lebih 60 sari pelbagai material, tekstil dan gaya itu juga bertujuan mengumpul dana tambahan untuk perbelanjaan latihan kerjaya dan pembelajaran golongan Sindrom Down.
"Acara ini adalah gabungan antara amal, pendidikan, budaya dan fesyen yang diharap memberi peluang kepada komuniti ini menunjukkan keupayaan dan potensi mereka selain memberi pendedahan kepada masyarakat tentang tradisi dan budaya pakaian tradisional India iaitu sari," katanya dalam sidang media pada Rabu.
Bkay berkata acara yang akan menampilkan sari seperti kanchipuram dan banarasi yang merupakan antara pakaian termahal dalam tradisi itu juga akan melibatkan peragaan oleh 10 model Sindrom Down berpengalaman.
Katanya program amal itu juga dianjurkan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Sindrom Down Malaysia yang mendedahkan golongan itu dengan kemahiran seperti memasak dan pelbagai kemahiran lain.
"Dana yang dijana akan digunakan untuk membantu persatuan ini mendapatkan peralatan tambahan dan perbelanjaan latihan kerjaya vokasional seterusnya mendidik golongan Sindrom Down menjadi usahawan berdikari dan berjaya pada masa depan," katanya.
Acara itu akan berlangsung pada 19 Mac di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat di sini bermula 2.30 petang dan akan turut menampilkan persembahan kebudayaan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayan Negara.
-- BERNAMA