World #QuranHour: Surah Al-Insan dipilih dengan tema memanusiakan manusia

Irwan Muhammad Zain
April 11, 2023 14:04 MYT
Menurut Mohd Na'im, jika seseorang individu tidak berakhlak maka tidak sempurnalah semangat manusia kerana setiap manusia dijadikan berdasarkan akidah, kepercayaan dan akhlaknya. - Gambar hiasan/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Setiap ujian yang ditempuh manusia dalam menjalani kehidupan sehari-hari bukanlah didatangkan untuk menghukum, sebaliknya ia bertujuan mengangkat martabat insaniah.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, ujian yang datang itu boleh menjadikan seseorang itu, hamba yang bersyukur atau sebaliknya.
Jelas beliau, menerusi penganjuran World #QuranHour diharapkan masyarakat negara ini terdidik dengan akhlak Al-Quran.
"Jadi kita harus faham bahawa ianya ada kaitan antara akhlak dengan karamtul insan tadi atau mengangkat martabat manusia,
"Maknanya, harus kita fahami bahawa manusia ini tidak menjadi manusia yang Allah berikan akal kalau tidak ada akhlaknya.
"Tidak ada keimanan dan keislaman kalau tidak ada akhlak," katanya dalam satu temubual khas bersama media sempena penganjuran World #QuranHour 2023.
Menurut Mohd Na'im, jika seseorang individu tidak berakhlak maka tidak sempurnalah semangat manusia kerana setiap manusia dijadikan berdasarkan akidah, kepercayaan dan akhlaknya.
Tahun ini Surah al-Insan dipilih dengan membawa tema “memanusiakan manusia” melalui agenda Humanising the Home, Humanising the Workplace, Humanising the Nation serta Humanising the World.
Beliau menyeru Umat Islam di negara ini untuk menjayakan program World Quran Hour 2023 dalam usaha menggalakkan masyarakat berinteraksi dengan Al-Quran agar sentiasa membaca, memahami dan mengamalkannya.
"Saya mengajak seluruh umat Islam untuk bersama-sama dengan kami semua pada hari Khamis ini dalam program World Quran Hour ini semoga usaha kita mendapat rahmat dan keberkatan Allah SWT," katanya lagi.
World #QuranHour 2023 dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd.
World #QuranHour sebagai kempen gerakan al-Quran melalui baca, faham dan amal akan diadakan di lokasi perdana Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 13 April 2023.
#QuranHour #Yayasan Warisan Ummah Ikhlas #Mohd Na im Mokhtar #Surah Al-Insan
;