World #QuranHour: Konvoi bermotosikal Pembawa Panji Al-Abrar bawa mesej Memanusiakan Manusia
Irfan Faruqi
April 11, 2023 15:22 MYT
April 11, 2023 15:22 MYT
GOMBAK: Pecutan akhir kempen World #QuranHour 1444H menampilkan program konvoi Pembawa Panji Al-Abrar Bermotosikal dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, konvoi tersebut adalah untuk menarik lebih ramai orang terutama golongan muda menyertai World #QuranHour ke-8.
“Dengan gabungan pelbagai pihak dalam menjayakan konvoi Pembawa-Pembawa Panji Al-Abrar, kita membawa mesej Al-Abrar atau Surah Al-Insan untuk diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar.
"Ia memberi simbolik penyerahan Panji Al-Abrar kepada pemimpin yang menaungi usaha Memanusiakan Manusia dengan berpandukan Surah Al-Insan. Kita memfokuskan 11 karakter Al-Abrar untuk ditanam dalam diri. Kita perlu berubah untuk membawa masuk syurga sekeluarga," katanya semasa pelepasan konvoi di sini, hari ini.
Seramai 50 peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kerjaya menyertai perjalanan bermotosikal tersebut sebagai simbolik penyatuan hati dengan al-Quran. Aktiviti tersebut diketuai oleh saudara baru, Vince Focarelli @ Imran Abdulsalaam, mantan ketua konvoi bermotosikal Commoncheros dari Adelaide, Australia.
Marhaini berkata, pengalaman Vince Focarelli boleh memberi inspirasi untuk saling menjaga dan terus menjaga peribadi diri. Beliau yang pernah melalui zaman kegelapan telah berubah apabila mendapat hidayah Allah SWT melalui al-Quran.
“Surah Al-Insan banyak membawa ajakan untuk mengembalikan sifat kemanusiaan kepada manusia dengan membentuk karakter warga Malaysia bermula daripada diri sendiri, watak keluarga dan watak rakyat dengan berpandukan al-Quran,” katanya.
Kini, World #QuranHour kembali diadakan secara fizikal secara serentak di seluruh dunia bermula di lokasi perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM selama sejam bermula 12 tengah hari, pada 22 Ramadan 1444H bersamaan 13 April 2023.
Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga telah berkenan untuk berangkat buat kali kedua ke program World #QuranHour 1444H.
Selain itu tahun ini, Astro Oasis kembali sebagai penyiar utama bagi World #QuranHour untuk bersiaran secara langsung pada hari tersebut.