'Work car' terkandas punca gangguan perkhidmatan monorel
Bernama
Oktober 6, 2020 18:01 MYT
Oktober 6, 2020 18:01 MYT
KUALA LUMPUR: Gangguan perkhidmatan Monorail Kuala Lumpur (Monorail KL) yang menjejaskan lebih 20,000 pengguna pada waktu puncak pagi tadi, berpunca daripada masalah teknikal melibatkan 'work car' atau jentera penyelenggaraan.
Ketua Pegawai Operasi Laluan Monorel Rapid Rail Sdn Bhd Mohd Ariffin Idris, bagaimanapun berkata kerosakan berkenaan sudah pulih sepenuhnya dan mula beroperasi seperti biasa pada 9.42 pagi.
"Gangguan perkhidmatan itu berpunca daripada sebuah 'work car' (jentera penyelenggara) yang terkandas di Suis 4 disebabkan 'bogie' (kerangka tayar) rosak.
"Keadaan itu menyebabkan tren yang ada di depoh tidak boleh keluar," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di sini, hari ini.
Mohd Ariffin berkata berikutan gangguan tersebut, pihaknya telah mengumumkan perkara itu di semua stesen monorel dan menasihatkan pengguna untuk mendapatkan pengangkutan alternatif ketika kerja baik pulih dijalankan.
"Rapid Rail selaku pengendali perkhidmatan Monorail KL ingin memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi oleh pengguna pagi tadi," katanya.
-- BERNAMA