Women's Boat to Gaza mahu 'pecah' kepungan Israel

Hilal Azmi
Oktober 3, 2016 12:21 MYT
Delegasi Women's Boat to Gaza berharap akan dapat melepasi kepungan untuk memasuki Gaza dan merancang tiba di garisan 100 batu nautika dari Gaza pada awal pagi Rabu. - Gambar freedomflotilla
Misi Women's Boat to Gaza yang menggunakan Kapal Zaytouna, membawa 10 aktivis dengan 3 kru kapal wanita, kini dalam perjalanan ke Gaza dengan membawa mesej keamanan.
Satu-satunya wakil Malaysia dalam misi ini, Dr Fauziah Mohd Hassan memberitahu Astro Awani, mereka berada dalam keadaan baik dan kapal itu kini berada di sekitar Laut Mediterranian.
"Alhamdulillah, kami semua dalam keadaan yang sangat baik, cuaca juga baik dan kapal kini bergerak pada kelajuan lima hingga enam knot. Semua peserta misi juga kini bersemangat tinggi.
"Kami akan pastikan dapat melepasi kepungan untuk memasuki Gaza dan dijangka tiba di garisan 100 batu nautika dari Gaza pada awal pagi Rabu, 5 Oktober 2016, waktu tempatan," katanya ketika dihubungi awal pagi Isnin.
Tambahnya, semua peserta misi diberi latihan secukupnya untuk menghadapi sebarang tindakan oleh Israel selepas satu arahan ketenteraan dikeluarkan pihak berkuasa negara itu untuk menyekat usaha yang membawa suara wanita ini.
"Kami berdoa agar misi ini berjalan lancar, kami telah dilatih untuk berhadapan sebarang kemungkinan. Misi ini adalah untuk membawa mesej keamanan ke Gaza, bukan Israel.
"Kalau mereka (askar Israel) cuba untuk menyekat pergerakan kami, kami akan pastikan memberi reaksi keamanan atau non violence kepada mereka tanpa sebarang kekasaran," katanya.
Dr Fauziah turut memberitahu, pihak Gaza turut membuat persiapan bagi menyambut ketibaan kumpulan aktivis ini dan beliau berharap doa dari seluruh umat Islam, terutamanya di Malaysia, mampu memastikan misi flotilla kali ini berjaya.
Selain Malaysia, misi Women's Boat to Gaza disertai wanita daripada pelbagai golongan di seluruh dunia, antaranya, Mairead Maguire, Pemenang Anugerah Nobel dari Utara Ireland, Ahli Parlimen dari New Zealand, Marama Davidson, serta beberapa peserta dari Amerika Syarikat, Norway, Afrika Selatan, Kanada dan Turki.
Misi ini bermatlamat membawa mesej peranan wanita dalam gerakan penentangan terutamanya membabitkan kesengsaraan yang dihadapi rakyat palestin akibat sekatan ketenteraan oleh Israel.
#Dr Fauziah Mohd Hassan #Israel #kapal Zaytouna #sekatan ketenteraan #women's boat to gaza
;