'Women of The Future Awards' iktiraf kelebihan wanita Asia Tenggara

Jasmine Abu Bakar
Mac 20, 2018 04:39 MYT
Ketua Pegawai Eksektif Kumpulan Astro Datuk Rohana Rozhan bersama Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Singapura Scott Wightman menyampaikan anugerah kepada Pemenang kategori media dan komunikasi Jessica Cheam. - Foto Astro AWANI / Jasmine Abu Bakar
Unik, berkeyakinan dan fokus.
Itu antara ciri penting diperolehi sembilan wanita yang menerima anugerah ‘Women of the Future Awards’ Asia Tenggara atas pencapaian mereka dalam pelbagai bidang.
Majlis anugerah yang memberi pengiktirafan kepada wanita dari pelbagai bidang sekitar ASEAN itu berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Singapura.
Bertapak di United Kingdom pada 2006, ini adalah tahun pertama majlis anugerah berprestij ini diangkat ke peringkat rantau Asia Tenggara.
Menurut penaung Women of the Future, Pinky Lilani, potensi wanita di Asia Tenggara harus diketengahkan kepada dunia agar dapat menjadi inspirasi kepada ramai wanita muda lain di luar sana.
Majlis anugerah ini turut mendapat sokongan Kumpulan Astro Malaysia Holdings (Astro) sebagai salah sebuah syarikat yang sentiasa mengambil berat dan mengiktiraf tenaga kerja wanita.
“Astro percaya dan sentiasa menyokong kepelbagaian, dan ini merupakan kejayaan bagi jenama kami. Tenaga kerja di Astro mewakili pasaran yang ideal, malah dapat dilihat ketika ini jumlah pekerja wanita adalah 52 peratus,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Malaysia Holdings, Datuk Rohana Rozhan.
Menurutnya lagi, peluang ini juga harus digunakan bagi menyeru wanita untuk menggunakan peluang ada dengan sebaiknya.
Kategori media dan komunikasi yang ditaja oleh Astro dimenangi oleh Jessica Chiam, Pengarang Urusan Eco Business yang berpangkalan di Singapura.
“Saya amat berbangga dengan pengiktirafan ini dan akan saya gunakan sebagai mungkin untuk menegakkan isu-isu kritikal yang perlukan perhatian terutamanya mengenai pembangunan mampan,” ujar Jessica.
Selain kategori media dan komunikasi, lapan anugerah lain turut dipertaruhkan termasuk seni dan kebudayaan, keusahawanan, juga keusahawanan sosial.
Saintis dan pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Chern Ein Oon, telah menggondol anugerah sains teknologi dan digital.
Turut menerima pencalonan, 12 wakil dari Malaysia antaranya usahawan dan pelakon Neelofa, penyanyi dan pelawak Hannan Azlan, dan koresponden CNBC, Lee Yen Nee.
#ASEAN #Astro #business #Datuk Rohana Rozhan #Malaysia #Sains #Singapura #women
;