WMO berjaya kurangkan kes denggi antara 45 dan 100 peratus - Lukanisman

Bernama
Jun 5, 2024 23:35 MYT
Lukanisman berkata program COMBI telah dilaksanakan di 3,380 lokaliti dengan lebih 32,163 ahli aktif di seluruh negara untuk memudahkan mobilisasi komuniti bagi aktiviti pencegahan denggi. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Operasi Nyamuk Wolbachia (WMO), sebuah inisiatif oleh Kementerian Kesihatan untuk memerangi penularan denggi yang bermula pada 2019, berjaya mengurangkan jumlah kes denggi antara 45 hingga 100 peratus di 19 lokaliti.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata negara mencapai penurunan ketara dalam kadar kematian kes denggi (CFR) daripada 0.63 peratus pada 2000 kepada 0.08 peratus tahun lepas, dengan usaha rapi dan berterusan di pelbagai peringkat melibatkan pihak berkepentingan negara, negeri dan daerah.
"Sehingga kini, sejumlah 35 lokaliti melaksanakan WMO di seluruh negara," katanya ketika berucap melancarkan Sidang Kemuncak Denggi Asia ke-7 di sini hari ini.
Lukanisman berkata program Communication for Behavioural Impact (COMBI) telah dilaksanakan di 3,380 lokaliti dengan lebih 32,163 ahli aktif di seluruh negara untuk memudahkan mobilisasi komuniti bagi aktiviti pencegahan denggi.
"Kami mengharapkan vaksin denggi dapat mengawal penularan penyakit ini dan akan terus mencari lebih banyak bukti bagi memastikan vaksin ini dapat melengkapkan usaha untuk mencegah, mengurus dan mengawal denggi mengikut beban jangkitan di negara dan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya.
Lukanisman berkata dalam tempoh dua dekad sahaja, bilangan kes denggi di seluruh dunia meningkat 13 kali ganda daripada 500,000 pada 2000 kepada 6.5 juta tahun lepas.
Kebanyakan peningkatan katanya, disebabkan oleh jangkitan dari Malaysia dan negara Asia lain seperti Thailand, Bangladesh, Vietnam dan Indonesia.
"Semasa pandemik COVID-19, kita gembira melihat penurunan ketara kes denggi susulan sekatan pergerakan. Malangnya, penurunan ini bersifat sementara. Apabila dunia kembali normal, kes denggi meningkat semula.
"Semestinya, 2023 mencatatkan bilangan kes tertinggi yang pernah direkodkan secara global, melepasi puncak luar biasa pada 2019. Dengan lebih 6.5 juta kes dan lebih 7,300 kematian berkaitan denggi dilaporkan WHO, keperluan untuk tindak balas kolektif tidak dapat dipertikai lagi," katanya.
Bertemakan Towards Zero Dengue Deaths: Innovation, Collaboration, Action in Asia, sidang kemuncak tiga hari bermula hari ini itu menghimpunkan lebih 450 pakar denggi terkemuka dari 20 negara termasuk pengamal perubatan, penyelidik akademik, peneraju kesihatan awam dan pembuat dasar untuk bertukar idea, perkembangan dan pencapaian dalam pencegahan dan kawalan denggi.
Sidang kemuncak itu dianjurkan bersama Asia Dengue Voice and Action (ADVA) Group dan Dengue Prevention Advocacy Malaysia (DPAM), selain persatuan dan kumpulan kesihatan awam yang lain.
-- BERNAMA
#COVID-19 #kes denggi #DPAM #kesihatan awam
;