WKB 2030 tidak pinggir Bumiputera - Dr Mahathir

Hasimi Muhamad
Oktober 5, 2019 11:43 MYT
Dr Mahathir melancarkan WKB 2030 hari ini. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. --fotoBERNAMA
Kerajaan Harapan (PH) menafikan dakwaan bahawa pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) mengetepikan hak dan masa depan Bumiputera.
Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan sedar Bumiputera masih ketinggalan dalam banyak perkara.
Namun, tegas beliau, penyamarataan semua peluang dan proses meliberalisasikan sektor dalam WKB 2030 tidak akan meminggirkan hak mereka.
“Kemakmuran Bersama bermaksud masyarakat Bumiputera tidak ditinggalkan, dan perlu dibangunkan, supaya lebih kompetitif, serta boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan etnik lain.
“Dalam waktu yang sama, seperti yang saya selalu tekankan, Bumiputera tidak harus hanya menunggu bantuan dan sokongan kerajaan.
"Apabila kita faham kita ketinggalan, kita harus sedar untuk lari dengan lebih laju mengejar mereka yang di hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan WKB 2030 di sini hari ini.
Jelas Dr Mahathir, WKB 2030 akan merangkumi semua rakyat, selain memberi keutamaan kepada beberapa kumpulan sasar dalam memastikan kedudukan sosio-ekonomi kumpulan itu tidak ketinggalan.
BACA: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dilancarkan
Antara kumpulan tersebut adalah golongan berpendapatan rendah (B40), miskin tegas dan rentan ekonomi; masyarakat transisi ekonomi; orang Asli; Bumiputera Sabah dan Sarawak; Orang Kurang Upaya (OKU); belia; wanita; kanak-kanak dan warga emas.
“Kita mahu Malaysia yang makmur dan rakyatnya berjaya. Saya menyeru semua rakyat Malaysia agar bersama-sama merealisasikan, menggembleng tenaga, menghayati matlamat dan hasrat wawasan ini.
“Wawasan Kemakmuran Bersama adalah amanah pada kita hari ini, dan hadiah serta milik anak cucu kita di masa hadapan,” katanya.
Terdahulu dalam majlis sama, Dr Mahathir melancarkan WKB 2030 yang merupakan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2021-2030.
WKB 2030 adalah kelangsungan kepada Wawasan 2020.
#Bumiputera #jurang ekonomi #kumpulan sasar #Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #rakyat Malaysia #Wawasan Kemakmuran Bersama #WKB 2030
;