Wisma Putra tunggu permintaan keluarga mangsa terkorban kemalangan di Turki

Firdaus Azil
Oktober 17, 2019 13:32 MYT
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, buat masa kini, kementerian masih belum memutuskan sebarang tindakan untuk membawa balik jenazah Azalan Miswan. - Gambar fail
Wisma Putra akan menunggu jika ada spermintaan keluarga seorang rakyat Malaysia yang terkorban dalam satu kemalangan jalan raya di Turki, semalam, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, buat masa kini, kementerian masih belum memutuskan sebarang tindakan untuk membawa balik jenazah Azalan Miswan.
“Bagi yang meninggal, itu kita akan tunggu dulu apa agaknya permintaan daripada keluarga. Kita bergantung kepada keluarga Allahyarham,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam, rakyat Malaysia yang terkorban itu disahkan sebagai kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
PKNS dalam satu kenyataan memaklumkan Allahyarham Azalan Miswan disahkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.45 pagi waktu Turki, manakala 10 pekerjanya yang lain mengalami kecederaan, dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Afyonkarahisar.
Mengenai mangsa yang tercedera, Saifuddin berkata, beliau yakin PKNS akan menghulurkan bantuan yang diperlukan untuk membawa balik kesemua mereka.
#Dewan Rakyat #Hospital #Hospital Afyonkarahisar #jenazah #kemalangan #Malaysia #PKNS #rakyat Malaysia #Saifuddin Abdullah #Turki #Wisma Putra
;