Wisma Putra terima maklumat tiga rakyat Malaysia masih di Sudan
Afiezy Azaman
Mei 3, 2023 11:15 MYT
Mei 3, 2023 11:15 MYT
KUALA LUMPUR: Wisma Putra mengesahkan menerima maklumat mengenai sebuah keluarga warga Malaysia yang masih terperangkap dan tinggal di wilayah Al-Gaza, pada 30 April lalu.
Menurut Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, mereka terdiri daripada seorang wanita dan dua anaknya yang merupakan warga Malaysia manakala suaminya warga Sudan.
"Maklumat diterima melalui Facebook Messenger Kedutaan Malaysia di Sudan. Keluarga ini tidak pernah berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum.
"Bagaimanapun, usaha membawa mereka keluar dari Sudan sedang diusahakan oleh Task Force Ops Sudan.
"Pada ketika ini, ketiga-tiga rakyat Malaysia dan suami warga Sudan itu sedang dalam perjalanan menuju ke Port Sudan dan dijangka tiba pada 3 Mei 2023," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zambry berkata, Wisma Putra melalui Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dan Duta Besar Malaysia ke Sudan sedang memohon bantuan Kerajaan Arab Saudi serta Kedutaan Besar Pakistan di Sudan supaya mereka dapat menaiki kapal untuk membawa mereka keluar dari Port Sudan ke Jeddah dalam masa terdekat.
"Insha-Allah kita sama-sama doakan usaha ini dipermudahkan dan mereka akan selamat tiba di tanah air nanti," katanya.
Sejak 15 April lalu, pertempuran di antara tentera Sudanese Armed Forces (SAF) dengan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) tercetus dan masih berterusan.
Gencatan senjata diusulkan pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Afrika dan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat serta Arab Saudi, tetapi masih gagal.
Menurut laporan Kementerian Kesihatan Sudan, 528 orang terbunuh manakala 4,599 orang tercedera akibat konflik ini setakat ini.
Hampir kesemua negara asing telah menjalankan proses evakuasi kakitangan kedutaan serta rakyat mereka keluar dari Sudan.
Antaranya termasuk Amerika Syarikat, Arab Saudi, Qatar, Jepun, Perancis, India, United Kingdom, China, Mesir, Jordan dan Iran.
Pada 28 April lalu, usaha membawa balik rakyat Malaysia ke tanah air berjaya dilaksanakan dengan menerbangkan 30 orang menerusi Saudi Airlines.
Sementara itu, difahamkan, dua rakyat Malaysia kini sedang menyertai misi United Nations Interim Security Force for Abyei (UNISFA) di wilayah Abyei, Sudan.
Mereka ialah Mejar Zazalina Ghazali dan Lt Kdr Naadifarin Che Kamaruddin.
Mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat kerana setakat ini wilayah tersebut tidak terjejas teruk akibat pertempuran yang sedang berlangsung.