Wisma Putra siasat dakwaan tiga rakyat terlibat aktiviti militan - Anifah

Astro Awani
Ogos 21, 2014 12:09 MYT
Kementerian Luar Negeri maklum dakwaan tiga rakyat terlibat aktiviti militan - Gambar fail
Kementerian Luar Negeri mengambil maklum berhubung dakwaan tiga rakyat negara ini yang disyaki terlibat dalam aktiviti militan di Syria sepertimana yang dilaporkan di media.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kementeriannya juga pada masa ini sedang mengenal pasti dakwaan tersebut dengan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan.
"Sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan serta mengamalkan nilai kesederhanaan, Malaysia sentiasa menyatakan bahawa ia sama sekali tidak menyokong mahupun membenarkan sebarang bentuk keganasan dan ekstremisme oleh mana-mana pihak, termasuk oleh rakyatnya sendiri.
"Rakyat Malaysia sentiasa dinasihati supaya mengamalkan sikap berjaga-jaga dan tidak terpengaruh dengan sebarang bentuk keganasan dan unsur ekstremisme," katanya dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI di sini.
Pada Rabu, seorang rakyat Malaysia yang berjuang di Syria dilaporkan terkorban akibat dibedil oleh kereta kebal tentera Bashar al-Assad sementara dua lagi dikatakan cedera dalam kejadian terbaharu di wilayah Hama di negara itu.
Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Mat Soh atau nama panggilannya Abu Turab, manakala rakannya yang tercedera ialah Mohd Rafi Udin, 48, dan Zainuri Kamarudin, 47.
Berita kematian Mat Soh dinyatakan di dalam Facebook milik seorang individu dikenali sebagai Ustaz Lotfi dari Baling, Kedah yang turut berjuang di Syria bersama pasukan pemberontak di sana sejak awal tahun ini.
#Anifah #ekstrimis #hama #Kementerian Luar #militan #Syria
;