Wisma Putra sahkan wartawan Malaysia dipenjara dua bulan di Myanmar
Bernama
November 11, 2017 18:02 MYT
November 11, 2017 18:02 MYT
Kementerian Luar hari ini mengesahkan laporan beberapa agensi berita antarabangsa bahawa wartawan Malaysia, Mok Choy Lin dijatuhi hukuman penjara dua bulan di Myanmar.
Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata Mok yang ditahan pada 27 Okt lalu bersama-sama seorang warga Singapura dan seorang rakyat tempatan, dihukum atas kesalahan yang dilakukan menurut Akta Lapangan Terbang Myanmar 1934.
Menurut kenyataan itu wakil Kedutaan Malaysia di Yangon telah melawat Mok dan wanita tersebut dilaporkan berada dalam keadaan baik.
"Kedutaan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Myanmar serta Kedutaan Singapura dan Turki di Myanmar bagi memantau dan memberi segala bantuan yang diperlukan kepada rakyat masing-masing yang terlibat," katanya.
Wisma Putra juga mengulangi ingatan akan keperluan rakyat Malaysia memahami sepenuhnya undang-undang dan peraturan negara tuan rumah sebelum melakukan lawatan selain berusaha mematuhinya.
Mok, wartawan stesen penyiaran Turkish Radio and Television, ditahan oleh pihak berkuasa Myanmar kerana didakwa merakam video bangunan Hluttaw (bangunan Parlimen) di Nay Pyi Taw, Myanmar menggunakan dron tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu.
-- BERNAMA
#ditahan
#drone
#Kementerian Luar
#Myanmar
#Parlimen
#penjara
#rakyat Malaysia
#Turki
#undang-undang
#wanita
#wartawan
#Wisma Putra