Wisma Putra perhalusi isu rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan di Arab Saudi
Nursyazwani Saiful Sham
Jun 30, 2020 20:33 MYT
Jun 30, 2020 20:33 MYT
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan akan memperhalusi pendekatan untuk membantu rakyat Malaysia yang ditimpa kesusahan di Arab Saudi.
Ia selepas pihaknya menerima maklumat tentang perihal rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di negara itu akibat COVID-19.
Menerusi perkongsian di Twitternya, Hishammuddin memaklumkan sudah berbincang dengan Duta Arab Saudi ke Malaysia berhubung situasi sebenar di sana.
"Saya dapat beberapa komen di Facebook saya beritahu ada rakyat Malaysia di Arab Saudi kehilangan kerja disebabkan COVID-19.
"Saya pandang serius perkara ini. Justeru petang ini saya berbincang dengan Duta Arab Saudi ke Malaysia,Tuan Yang Terutama (TYT) Mahmoud Hussein Saeed Qattan berhubung situasi sebenar di sana.
"Ia penting bagi membolehkan kerajaan termasuk Wisma Putra perhalusi pendekatan untuk terus bantu rakyat kita yang ditimpa kesusahan di Saudi," katanya.
Pada masa sama, Hishammuddin turut menjelaskan, pihaknya akan berusaha untuk memberi yang terbaik demi keselamatan dan kebajikan rakyat di luar negara walaupun berdepan krisis COVID-19 yang bukan mudah untuk diselesaikan.
#Arab Saudi
#coronavirus
#COVID-19
#Datuk Seri Hishammuddin Hussein
#hilang kerja
#Menteri Luar Negeri