Wisma Putra pantau perkembangan kes hukuman mati rakyat Malaysia di Singapura

Hafizi Rosli
November 3, 2021 03:59 MYT
Saifuddin berkata, proses rayuan melalui mahkamah telah dibuat sehingga ke peringkat akhir, tetapi ia telah ditolak pada 1 Jun 2020.- Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan terus memantau perkembangan pelaksanaan hukuman mati ke atas tahanan warga Malaysia, Nagaenthran Dhamalingam, di negara itu.
Ia termasuk menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada tahanan itu serta keluarganya, menurut Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kementeriannya mengambil maklum berhubung pelaksanaan hukuman mati itu yang dijadual dilaksanakan pada 10 Nov depan.
Beliau memaklumkan, proses rayuan melalui mahkamah sudah dibuat sehingga ke peringkat akhir iaitu melalui permohonan Pengampunan Presiden (Presidential Clemency).
Bagaimanapun, permohonan itu ditolak pada 1 Jun 2020.
Beliau juga, katanya, telah mengutus surat kepada Menteri Luar Singapura berkenaan kes ini.

KENYATAAN MEDIA@MalaysiaMFA maklum akan pelaksanaan hukuman mati ke atas seorang tahanan warganegara Malaysia di Singapura atas kesalahan penyeludupan dadah. pic.twitter.com/eugDhE9JhY

— Saifuddin Abdullah (@saifuddinabd) November 3, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ia susulan penerimaan surat daripada organisasi Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) melalui Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, yang memaklumkan berkenaan kes tersebut dan memohon supaya Kementerian Luar membangkitkannya dengan Kerajaan Singapura.
Terdahulu, Nagaenthran ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diamorphine seberat 42.72 gram.
Dia didakwa menyeludup dadah tersebut dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 Nov 2010.
#Kementerian Luar #hukuman mati #Dadah #warga Malaysia di Singapura