Wisma Putra nasihat rakyat Malaysia elak kunjungi selatan Thai

Bernama
Disember 23, 2013 07:46 MYT
Gambar Fail - Foto AFP
Kementerian Luar menasihati rakyat Malaysia supaya mengelak daripada melakukan perjalanan ke kawasan berlakunya beberapa siri letupan bom di selatan Thailand.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, kementerian itu berkata rakyat Malaysia perlu menimbangkan, buat masa ini, untuk menangguhkan sebarang kunjungan tidak perlu ke wilayah terbabit bagi keselamatan diri mereka dan atas sebab-sebab keselamatan.
"Rakyat Malaysia yang sudah pun berada di selatan Thailand dinasihati memantau keadaan dengan rapi dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa Thailand," jelas kenyataan itu.
Mana-mana rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
Butiran tentang konsulat itu seperti berikut:
Konsulat Jeneral Malaysia, Songkhla, No. 4, Sukhum Road Muang District, Songkhla Province 90000 Thailand. Tel: +66 74 311 062 Fax: +66 74 324 004 E-mail: malsgkhla@kln.gov.my.
Semalam, 27 orang awam cedera dalam letupan bom di bandar Danok, Sadao dan Padang Besar. Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat.
#Danok #letupan #melancong #Thailand
;