Wisma Putra jelaskan isu artikel mengenai Tubir Selatan

Bernama
Januari 20, 2022 00:35 MYT
Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan Indonesia tidak membuat sebarang kenyataan menuntut kedaulatan Tubir Selatan (South Ledge) seperti didakwa sebuah artikel terbitan Defence Security Asia.
PUTRAJAYA: Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan Indonesia tidak membuat sebarang kenyataan menuntut kedaulatan Tubir Selatan (South Ledge) seperti didakwa sebuah artikel terbitan Defence Security Asia.
Artikel itu bertajuk "Indonesia Dakwa Tubir Selatan (South Ledge), Karang Singa Miliknya. M'sia Bagaimana?"
"Kementerian (Luar) telah mengesahkan perkara itu dengan pihak Indonesia. Kementerian dimaklumkan bahawa Menteri Dalam Negeri Indonesia tidak membuat sebarang kenyataan menuntut kedaulatan terhadap Tubir Selatan seperti yang dilaporkan," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kementerian turut memetik penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) 2008 mengenai Kes Berkenaan Kedaulatan ke atas Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge).
"Mengenai isu kedaulatan ke atas Tubir Selatan, penghakiman berbunyi "... Tubir Selatan terletak di dalam perairan wilayah yang bertindih yang dijana tanah besar Malaysia, Pedra Branca/Pulau Batu Puteh dan Middle Rocks..." dan "....kedaulatan terhadap Tubir Selatan, permukaan yang muncul ketika air surut, kepunyaan negara di perairan wilayah di mana ia berada."
Berikutan Penghakiman ICJ, Malaysia dan Singapura telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Antara Malaysia-Singapura bagi melaksanakan Penghakiman ICJ ke atas Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan (MSJTC).
"Di bawah MSJTC, Malaysia kekal komited menyelesaikan isu sempadan maritim yang tertunggak antara kedua-dua negara dan akan memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia dilindungi," kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Kementerian Luar #Wisma Putra #Indonesia #Tubir Selatan #South Ledge #Defence Security Asia #artikel
;