Wisma Putra jamin siasat insiden serang Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di KLIA
Astro Awani
September 6, 2016 11:13 MYT
September 6, 2016 11:13 MYT
Pihak berkuasa Malaysia memberi jaminan akan menyiasat insiden membabitkan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, Ibrahim Ansar dan sekumpulan penunjuk perasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.
Insiden itu mengakibatkan Pesuruhjaya Tinggi itu mengalami kecederaan ringan.
Kementerian Luar dalam kenyataannya berkata ia akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Kuala Lumpur untuk memastikan insiden seumpama itu tidak berulang di masa hadapan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini memaklumkan lima individu telah ditahan di sekitar Dengkil, Perak dan Kuala Lumpur awal pagi isnin.
Semua yang ditahan, berusia dari 27 hingga 56 tahun, akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Polis kini sedang mengesan empat lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu dan identiti mereka sudah dikenal pasti.
Katanya, pihaknya masih menyiasat sama ada kesemua suspek berkenaan mempunyai kaitan dengan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE).
#Ibrahim Ansar
#KLIA
#Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
#Penunjuk perasaan
#Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka