Wisma Putra dapatkan penjelasan duta berhubung isu sumbangan Masjid Al-Aqsa
Bernama
Februari 20, 2020 05:11 MYT
Februari 20, 2020 05:11 MYT
Wisma Putra telah mendapatkan penjelasan daripada Duta Besar Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali berhubung isu sumbangan untuk Masjid Al-Aqsa, Palestin.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata satu pertemuan dengan Duta Besar Palestin itu telah diadakan pada Khamis bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu tersebut.
Menurut Wisma Putra, Duta Besar Palestin itu berkata kenyataannya dibuat berdasarkan rekod daripada pihak pengurusan Masjid Al-Aqsa sejak 2018.
"Walau bagaimanapun, beliau tidak dapat membuktikan sama ada kutipan derma telah dibuat khusus untuk disalurkan kepada Jabatan Wakaf Masjid Al-Aqsa yang diuruskan oleh kerajaan Jordan," kata Wisma Putra.
Walid pada 18 Feb dilaporkan berkata sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin untuk pembangunan dan pembebasan Masjid al-Aqsa tidak sampai kepada Jabatan Wakaf Baitulmaqdis yang ditadbir oleh Kementerian Wakaf Jordan.
Susulan itu, 10 badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam kerja kebajikan rakyat Palestin dilaporkan menuntut duta negara berkenaan memohon maaf berikutan kenyataannya itu.
Malah, mereka juga mendesak Walid menarik balik kenyataan itu jika tidak dapat memberikan bukti.
Wisma Putra dalam pada itu berkata ia turut mengambil maklum kenyataan NGO yang antara lain menyatakan dana kutipan rakyat Malaysia dan bantuan kepada rakyat Palestin disalurkan terus melalui rakan-rakan NGO masing-masing di Palestin.
Sumbangan itu turut melibatkan bantuan kepada penduduk Palestin di sekitar Masjid Al-Aqsa terutama pada bulan Ramadan.
"Kementerian Luar (Wisma Putra) menyokong dan menghargai usaha-usaha murni yang telah dilaksanakan oleh badan-badan bukan kerajaan di Malaysia dalam menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat Palestin yang meliputi bantuan kewangan, makanan, perubatan, pendidikan dan lain-lain," katanya.
Wisma Putra berkata ia mempunyai hubungan baik dengan beberapa NGO dan sentiasa memudah cara serta membantu usaha mereka dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.
Kementerian Luar itu juga menggalakkan badan bukan kerajaan yang lain untuk turut mendapatkan kerjasama kementerian bagi melestarikan bantuan dari Malaysia untuk rakyat Palestin, katanya.
"Kerajaan dan rakyat Malaysia menyokong kuat perjuangan rakyat Palestin untuk mendapat kebebasan dan mencapai kemerdekaan.
"Malaysia akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang masih dijajah dan ditindas oleh rejim Israel di wilayah-wilayah Palestin di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis, dan juga Semenanjung Gaza," katanya.
-- BERNAMA
#Badan Bukan Kerajaan
#Duta Besar
#Gaza
#Jabatan Wakaf Baitulmaqdis
#Jordan
#Kementerian Luar
#Kementerian Wakaf Jordan
#kerajaan
#kerja kebajikan rakyat Palestin
#Maaf
#Masjid Al-Aqsa
#NGO
#Palestin
#perubatan
#sumbangan
#Walid Abu Ali
#Wisma Putra