Wisma Jakel terbakar: Bomba gerakkan pasukan siasat kebakaran berulang

Azyyati Ahmad
Januari 3, 2023 10:45 MYT
Datuk Norazam Khamis berkata, siasatan akan melibatkan pelbagai aspek termasuk unsur khianat dan kecuaian. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pasukan penyiasat bomba telah mengerakkan pasukan bagi menyiasat kebakaran berulang di tingkat 3 bangunan bersebelahan Jakel Shah Alam awal pagi ini.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis, siasatan akan melibatkan pelbagai aspek termasuk unsur khianat dan kecuaian.
“Pagi ini saya telah arahkan pegawai penyiasat saya bersama unit K9 untuk meyiasat semula tempat kejadian yang berlaku pada pagi tadi,
“Ketika kami sampai memang kita lihat api sudah marak di tingkat 3 tersebut, kita akan lihat dari pelbagai sudut yang melibatkan khianat dan lain-lain perkara yang bersangkutan, pagi ini saya juga telah arahkan pasukan menyiasat dan memastikan bahawa tidak ada lagi kesan-kesan kebakaran yang boleh menimbulkan kebakaran berulang,” katanya kepada Astro AWANI.
Jelasnya, ketika ini sampel-sampel yang ada telah diambil dan dianalisa di makmal penyiasatan Bomba di Bukit Jelutong untuk mengenal pasti punca.
“Siasatan juga akan dibuat terhadap pekerja-pekerja Jakel kerana peringkat awal dimaklumkan ada pekerja berada di premis ketika kejadian, kita akan panggil untuk soal siasat,
“Siasatan akan mengambil masa untuk kita perinci, kerana kemusnahan yang berlaku dan dari segi kerugian juga agak tinggi jadi perkara ini perlu disiasat dengan teliti dan rapi,” katanya.
Katanya lagi, keputusan siasatan awal dijangka akan dapat diperoleh dalam masa dua minggu lagi.
“Pada peringkat awal akan mengambil masa dua minggu, sekiranya hasil siasatan menepati ciri-ciri kebakaran dan boleh menguatkan fakta berkaitan dengan punca, dan sekiranya perlu kita akan lanjutkan siasatan sehingga tiga minggu,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi ini, gedung perniagaan tekstil Jakel cawangan Shah Alam di Seksyen 7 dilaporkan terbakar lagi.
BACA: Wisma Jakel Shah Alam terbakar lagi
Kebakaran di bangunan Wisma Jakel itu melibatkan satu bilik simpanan kain langsir berkeluasan 30x40 kaki persegi di tingkat tiga.
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #Jakel Shah Alam #khianat
;