Wira Oren MBSP: Rasa puas, terharu dapat jumpa semula barang kemas dalam sampah

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 21, 2022 19:14 MYT
Wira Oren MBSP ketika ditemui di Depoh Operasi Pembesihan Tasek Gelugor pada Isnin. - Foto Astro AWANI
TASEK GELUGOR: Rasa puas hati dan terharu apabila berjaya membantu menemukan semula barang kemas milik seorang wanita yang dibuang secara tidak sengaja dalam longgokan sampah.
Itu perasaan seorang pekerja pembersihan 'Wira Oren Majlis Bandaraya Seberarang Perai (MBSP)', Zai Asmawi Zainol Abidin, 38, yang membantu mencari barang berharga berkenaan di Depoh Operasi Pembersihan Tasek Gelugor semalam.
Berkongsi kisahnya, Zai Asmawi berkata, dia dan rakan sepasukannya diberi tugasan mencari semula barang berkenaan di dalam longgokan sampah seberat empat tan yang baru diambil mereka di sekitar kawasan Tasek Gelugor semalam.
Meskipun sukar, namun atas rasa tanggungjawab Zai Asmawi berkata dia dan rakan sekerja yang lain nekad menyelongkar sampah demi membantu selain simpati dengan nasib wanita berkenaan.
"Cari bersama kawan, barang berkenaan (emas) memang ada dalam plastik hitam, bila kami koyak plastik nampak beg itu bersama sisa makanan, bila koyak lagi plastik nampak beg itu.
"Gementar juga tangan, rasa nak teriak (menangis) pun ada sebab terharu. Rasa puas dapat bantu suri rumah itu. Saya fikir satu sahaja, saya harap jumpa sebab masa tengok dia masa tu nampak serabut, tengok dia menangis, memang niat kami nak cari sampai jumpa," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui di Depoh Operasi Pembesihan Tasek Gelugor pada Isnin.
Sementara itu Pembantu Kesihatan Awam Kanan Depoh Pembersihan MBSP Mohd Razizi Hassan, 42, yang turut ditemukan di depoh berkenaan berkata, sebaik mendapat maklumat mengenai insiden berkenaan dia terus meminta pekerjanya kembali ke depoh untuk mencari barangan berkenaan.
Ujarnya walaupun mengetahui risiko dan prosedur untuk memunggah kembali sampah di depoh tersebut ketat namun disebabkan mahu membantu, dia sanggup mengambil risiko berkenaan.
Pihaknya bersyukur kerana dapat menemukan semula barangan tersebut dalam tempoh hampir dua jam.
"Pertama sekali, kita ada rasa belas, ihsan. Sebab dia minta tolong tengok, sampah tak banyak jadi kita buat tugasan itu.
"Bila dapat maklumat, di telinga saya terngiang-ngiang ucapan dari Pemangku Pengarah yang tekankan kepada kami, kalau jalankan buat dengan bertanggungjawab, jaga nama baik majikan.
"Kita punggah sampah ke atas lantai, turun semua sampah dan arahkan (mencari), dengan jujur ikhlas kita cuba bantu masalah. Dalam sejam lebih baru kita jumpa," jelasnya.
Dalam kejadian semalam, media melaporkan seorang wanita yang juga angota polis di Balai Telok Ayer Tawar, berterima kasih kepada pekerja am MBSP kerana berjaya menemukan semula barang kemasnya di dalam timbunan sampah.
Wanita berkenaan berkongsi kisah tersebut di laman sosial Facebook (FB) miliknya, 'Yaya Ismail' sehingga ia tular seterusnya mendapat perhatian warganet yang memuji tindakan mulia sekumpulan pekerja MBSP itu.
Menurut wanita itu, dia secara tidak sengaja terbuang beg kecil yang mengandungi sejumlah emas miliknya yang dibeli dan disimpan sejak dia berusia 18 tahun bersama lampin pakai buang anaknya.
#Wira Oren MBSP #hilang barang kemas #timbunan sampah #jumpa emas
;