Wira Oren bantu cari barang kemas dalam timbunan sampah terima sijil penghargaan
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 15, 2022 17:29 MYT
Mac 15, 2022 17:29 MYT
BUKIT MERTAJAM: Sembilan pekerja pembersihan yang membantu menemukan semula barang kemas milik seorang wanita yang dibuang secara tidak sengaja dalam longgokan sampah bulan lalu menerima sijil penghargaan daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Kesemua pekerja berkenaan yang dikenali sebagai ‘Wira Oren’ menerima sijil penghargaan itu yang disampaikan oleh Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad ketika Perhimpunan Korporat Bandaraya hari ini.
Azhar berkata, sikap amanah dan integriti yang tinggi yang ditunjukkan oleh sembilan kakitangan itu ketika menjalankan tugas wajar dihargai.
“Atas dasar amanah dan simpati, sembilan kakitangan MBSP terbabit berusaha dengan sepenuh tenaga mencari barang kemas itu selama dua jam dan berjaya menemuinya semula dalam longgokan sampah seberat empat tan," katanya.
“Justeru, saya berharap, tidak hanya 'Wira Oren, bahkan lebih ramai warga MBSP termasuk semua kakitangan dapat menunjukkan sikap seperti ini dan saya berbangga kerana anda semua adalah sebahagian daripada keluarga MBSP,” katanya.
Azhar berkata, MBSP memberi perhatian serius terhadap masalah integriti dan etika di kalangan warga kerja MBSP tanpa mengira barisan pembuat dasar, pentadbiran dan pengurusan tertinggi mahupun peringkat pelaksana.
Katanya, MBSP amat komited dalam usaha meningkatkan integriti, membanteras rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan pecah amanah di kalangan kakitangannya.
Ia selaras dengan sasaran pihaknya untuk menjadi sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berintegriti, telus dan sifar rasuah.
Pada 20 Februari lalu, seorang anggota polis wanita dilaporkan secara tidak sengaja terbuang sejumlah barang kemas miliknya di dalam tong sampah berhampiran kuarters yang didiaminya.
Bagaimanapun, wanita itu bernasib baik selepas barang kemas miliknya itu bejaya ditemui semula oelh pekerja MBSP yang membantunya mencari dalam longgokan sampah di Depoh Operasi Pembesihan Tasek Gelugor.
Wanita berkenaan berkongsi kisah tersebut di laman sosial Facebook (FB) miliknya sebagai tanda terima kasih dan memuji tindakan mulia pekerja terbabit sehingga ia tular seterusnya mendapat perhatian warganet.