Wira negara, Kanang Anak Langkau meninggal dunia
Astro Awani
Januari 3, 2013 10:44 MYT
Januari 3, 2013 10:44 MYT
Pahlawan Negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, atau lebih dikenal dengan Kanang Anak Langkau menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Umum, Kuching, pagi tadi.
Kanang yang berumur 65 tahun di saat kematiannya merupakan seorang pahlawan yang terkenal di negara Malaysia.
Anak kelahiran Sarawak yang berketurunan Dayak ini juga merupakan bekas anggota Rejimen Renjer Diraja yang memegang pangkat Pegawai Waran dalam Angkatan Tentera Malaysia.
Beliau telah dianugerahkan dengan pingat-pingat Panglima Gagah Berani dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ahmad Shah pada 3 Jun 1981.
Keberanian beliau menentang pengganas komunis memang tidak dapat dinafikan lagi sehingga beliau sendiri hampir terkorban akibat terkena peluru pada jantungnya.
Kepintaran beliau dalam selok belok gempur juga membolehkan beliau dan anggota pimpinannya menewaskan musuh ketika negara masih lagi diancam saki baki komunis sekitar awal 80an.
Atas jasa beliau juga, Kanang diberi penghormatan untuk mengetuai perbarisan para pejuang negara yang berjuang pada zaman darurat sempena Sambutan Hari Malaysia Ke-49 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Lapangan Terbang Lama tahun lalu.