Wira merah turut 'beraksi' di LIMA 2023

Bernama
April 28, 2023 11:15 MYT
Ahmad Izram berkata, pada LIMA kali ini, pihak JBPM akan membawa tema yang mempamerkan operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan seperti di Batang Kali, Selangor dan Turkiye. - Gambar fail BERNAMA
PUTRAJAYA: Sebanyak 200 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap siaga untuk menyertai dan menghadapi sebarang kes kecemasan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2023 yang berlangsung bulan depan.
Pengarah Bahagian Ope-rasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata anggota yang terlibat adalah dari Putrajaya, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis yang sudah mula diatur gerak dalam menyediakan pelbagai aktiviti pada pameran itu.
Menurutnya, selain mempamerkan aset darat, laut dan udara, JBPM juga akan membawa peralatan operasi terutamanya pada operasi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor dan gempa bumi di Turkiye.
"Kali ini kita akan membawa tema yang mempamerkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan seperti di Batang Kali, Selangor dan Turkiye ... ini termasuk membawa tiga anjing pengesan antaranya Denti dan Frankie yang menyertai misi SAR sebelum ini.
"Selain menyertai pameran, JBPM akan bersiap sedia dalam kes kecemasan terutamanya di laluan yang melibatkan demonstrasi contohnya seperti yang berlaku pada LIMA 2015 apabila pesawat KT-1B Jupiter Aerobatik Team Indonesia terhempas di Kampung Gelam Mukim Kedawang, Langkawi ketika latihan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Ahmad Izram berkata LIMA 2023 juga akan menyaksikan satu memorandum persefahaman yang akan ditandatangani bersama Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli membabitkan penggunaan helikopter ambulans pertama yang dinamakan Emergency Medical Air Rescue Services (EMARS).
Beliau berkata EMARS digunakan untuk pemindahan mangsa dari hospital ke hospital dan memudahkan ketersampaian perkhidmatan kepada penduduk di kawasan pedalaman khususnya komuniti Orang Asli yang diketahui sukar untuk menggunakan laluan darat.
LIMA 2023 bertemakan "Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia" akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei di Langkawi, Kedah.
Kali terakhir pameran dwitahunan itu diadakan adalah pada 2019 dan ditangguhkan pada 2021 susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika itu.
-- BERNAMA
#LIMA 2023 #bomba #Ahmad Izram Osman #operasi mencari dan menyelamat
;