Wira APM melecur lalui pemulihan memeritkan
Bernama
Januari 7, 2024 11:30 MYT
Januari 7, 2024 11:30 MYT
KUCHING: Setelah berdepan detik hitam yang hampir meragut nyawa, Mohamad Syafiq Mohamad Ali Hanaffiah, 34, yang melecur 75 peratus badannya ketika mahu menyelamatkan mangsa kebakaran pada 28 Ogos tahun lepas, kini terlantar kesakitan dan melalui fasa pemulihan yang memeritkan.
Kisah keberanian namun menyayat hati anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu telah mendapat perhatian media tempatan serta wakil rakyat Sarawak, apatah lagi insan yang bertungkus-lumus menguruskan rawatan Mohamad Syafiq ialah ibunya sendiri, Julia Jemat, 56, yang juga seorang ibu tunggal.
Menurut Julia, anak keempat daripada enam beradik itu sudah dicaj dari hospital pada hujung November lepas dan buat masa ini menerima penjagaan mencuci luka di rumah yang ditawarkan oleh Klinik Perubatan Teddy secara percuma.
"Luka (Mohamad Syafiq) perlu dibalut sekali setiap dua hari dan memang Syafiq perlu kuat semangat kerana proses itu sangat memedihkan... luluh hati saya melihatnya meraung tahan kesakitan sehingga tidak dapat tidur.
"Kami dimaklumkan proses pemulihan mengambil masa setahun untuk keseluruhan luka di badannya itu kering serta tiga tahun untuk pulih sepenuhnya," katanya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.
Julia mengakui pendapatannya sebagai tukang masak di Pusat Pemulihan Narkotik (PUSPEN) Kuching tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan anak lelaki sulungnya itu yang menelan perbelanjaan kira-kira RM3,000 sebulan melibatkan kos perubatan dan makanan sahaja.
"Sekarang ini, doktor menyarankan agar anak saya menjalani kelas fisioterapi sebab dia tidak boleh bergerak sendiri jadi perlu masuk kelas sekurang-kurangnya dua atau tiga kali seminggu dengan anggaran kos yang perlu kami tanggung hampir RM3,000 sebulan bagi sesi fisioterapi sahaja," katanya yang turut menjual nasi lemak bagi menampung kos sara hidup.
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang dilaporkan melawat keluarga tersebut serta memberi jaminan agar Mohamad Syafiq diberikan rawatan sewajarnya.
"Berat mata memandang, berat lagi bahu saya nak memikul...saya berterima kasih dengan YB (Yang Berhormat) yang datang melawat dan hulurkan bantuan dan permudahkan urusan kami sekeluarga untuk memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Baitulmal.
"Untuk JKM, YB Fatimah berikan bantuan antaranya katil, lampin, susu yang khusus untuk nutrisi anak saya serta bantuan sara hidup RM500 sebulan untuknya bermula Februari ini," katanya sambil menambah, beliau turut menanggung seorang lagi anak yang menghidap penyakit sawan.
Selain itu, jelasnya Baitulmal dan Persatuan Kebajikan Harapan Kuching (Hope Place) juga menghulurkan sumbangan seperti peralatan, bakul makanan serta wang ringgit.
Menceritakan tragedi kebakaran melibatkan lima rumah di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu Kawa, Julia berkata, niat murni Mohamad Syafiq meredah api marak demi menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki, bukanlah sesuatu yang di luar jangkaannya kerana anaknya itu sememangnya ringan tulang sedari kecil dan tidak sanggup melihat orang sekelilingnya ditimpa kesusahan.
Mangsa, Zayyan Nazeem Zainal Abidin, 6, bagaimanapun tidak berjaya diselamatkan dan ditemukan rentung oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, ketika melakukan kerja 'overhaul' selepas api berjaya dipadam.
Berikutan insiden berkenaan, anggota APM berusia 34 tahun itu dilaporkan bertarung nyawa dan ditidurkan setelah dimasukkan ke zon merah Hospital Umum Sarawak dan disahkan mengalami kesan kebakaran tahap tiga.
Meskipun anaknya sehingga kini masih tidak dapat bertutur dengan jelas susulan kecederaan yang dialami, wanita itu menarik nafas lega apabila doktor mengesahkan ingatan serta penglihatan Mohamad Syafiq tidak terjejas sejurus selepas beliau sedarkan diri daripada koma yang berlanjutan hampir sebulan.
"Dia memang anak harapan dan sentiasa membantu berkongsi rezeki kerana dia anak sulung lelaki dalam keluarga namun saya anggap ini ujian daripada Tuhan jadi kami sekeluarga perlu sentiasa kuat mengharungi dugaan ini dan percaya dia akan sembuh, insya-Allah.
"Saya mempunyai masalah tulang belakang dan sepatutnya menjalani pembedahan namun terpaksa ditangguhkan untuk menguruskan anak saya kerana dia masih perlu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan secara berkala," katanya menahan sebak.
Pada Disember lepas, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) pada ketika itu, Datuk Armizan Mohd Ali, menganugerahkan Mohamad Syafiq 'Bintang Gagah Berani Pertahanan Awam' atas semangat kewiraan yang dipamernya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga ini bagi meringankan beban boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Affin Bank bernombor 200418005895 atas nama Julia Binti Jemat.
- BERNAMA
#wira APM
#Mohamad Syafiq Mohamad Ali Hanaffiah
#sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
#mangsa kebakaran