Wilayah Petaling, Klang alami gangguan air bermula hari ini
Luqman Hariz
Januari 26, 2022 15:52 MYT
Januari 26, 2022 15:52 MYT
KUALA LUMPUR: 142 kawasan di wilayah Petaling dan Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air bermula jam 3 petang hari ini.
Menurut Air Selangor, ini susulan kerja-kerja pembaikan yang perlu dilakukan selepas sebatang paip pecah di Seksyen 15, Shah Alam berhampiran Lebuhraya Persekutuan semalam.
Dalam satu kiriman di akaun Facebook rasminya hari ini, Air Selangor berkata insiden itu adalah akibat kerja-kerja pembangunan yang dilakukan oleh pihak ketiga di kawasan tersebut.
Susulan itu, kerja-kerja kecemasan bagi membaiki paip tersebut akan bermula jam 3.00 petang Rabu, dan dijangka siap sepenuhnya pada jam 3.00 pagi Khamis.
Bagaimanapun tambahnya, tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza mengikut kawasan, bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
Sementara itu, syarikat tersebut akan menggerakkan lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal.
Air Selangor menasihatkan orang ramai untuk merujuk semua akaun media sosialnya atau hubungi talian 15300 untuk mendapatkan maklumat terkini.
Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan ke Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.