Wilayah Bebas Berniaga: Peniaga zahir rasa syukur, dapat ruang 'bernafas'

Fauzi Suhaimi
November 13, 2020 16:09 MYT
Wilayah Persekutuan akan menjadi 'Wilayah Bebas Berniaga' selama enam bermula Ahad ini. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: "Kami bersyukur dan lega kerana mampu bernafas semula."
Itu reaksi beberapa peniaga selepas Kementerian Wilayah Persekutuan melaksanakan program 'Wilayah Bebas Berniaga' selama enam bulan bermula Ahad ini.
Keprihatinan yang ditunjukkan kerajaan itu mampu mengukir senyuman para peniaga yang ditemui Astro AWANI di sekitar Bandar Sri Permaisuri, di sini.
Mana tidaknya, masing-masing menzahirkan rasa gembira dan berazam untuk memanfaatkan peluang yang diberikan kerajaan itu.
Seorang peniaga, Haniza Hakim, 44, memberitahu keputusan yang dibuat Kementerian Wilayah Persekutuan itu melegakan peniaga kerana membolehkan mereka meneruskan perniagaan walaupun tiada tapak yang dikhususkan.
"Selepas pengumuman itu dibuat, saya berasa amat bersyukur kerana kerajaan seolah-olah memahami denyut nadi kami yang amat terkesan sejak pandemik ini.
"Dengan peluang ini, ia sedikit sebanyak beri kelegaan dan peluang kepada kami untuk berniaga di mana-mana sahaja di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya di sini pada Jumaat.
Turut berkongsi perasaan sama, Amir Fitri Iskandar Hakim, 46, yang menjual Nasi Daging Dendeng.
Dia berkata, usaha itu benar-benar diperlukan rakyat khususnya peniaga yang mahu mencari pendapatan selepas perniagaan terjejas sejak Mac lalu.
"Meskipun keadaan sekarang masih tidak terkawal sepenuhnya, tetapi kami perlu mencari rezeki demi kelangsungan hidup, namun segala SOP tertentu akan kami jaga demi keselamatan semua pihak," ujarnya.
Peniaga air, Muhammad Syahmi Jamil, 26, pula mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan ruang dan peluang buat golongan yang terjejas.
"Saya memang menumpukan sepenuhnya kepada peniagaan ini dan ini juga merupakan pendapatan hakiki saya untuk kelangsungan hidup," katanya.
Bagi Rohana Daud, 52, yang menjual laksa, dia meminta agar peluang yang diberikan itu digunakan sebaik mungkin khususnya dalam mengawal penularan jangkitan COVID-19.
"Selain itu, aspek kebersihan juga perlu dijaga dan menjadi tanggungjawab kita bersama dalam memastikan kawasan sekitar sentiasa bersih dan selamat," katanya.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini berkata, Wilayah Persekutuan akan menjadi 'Wilayah Bebas Berniaga' selama enam bulan.
Inisiatif itu dibuat bagi meringankan beban peniaga di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
#perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKPB #Tan Sri Annuar Musa #wilayah bebas berniaga #Wilayah Persekutuan #peniaga #COVID-19
;