WIEF: Sistem pendidikan masa depan perlu sesuai dengan minat generasi muda
Hafiz Marzukhi
November 22, 2017 06:45 MYT
November 22, 2017 06:45 MYT
Sistem pendidikan untuk generasi muda masa kini perlu disesuaikan dengan minat dan keinginan mereka selari dengan perkembangan semasa.
Ini penting untuk memastikan mereka mampu pergi jauh dalam dunia yang semakin berbeza disebabkan wujudnya impak dari teknologi baharu.
Perkara tersebut disarankan Pengasas Global Future Education Foundation and Institute, Amerika Syarikat, Marc Prensky, yang menyatakan generasi terdahulu tidak boleh menganggap generasi akan datang perlu belajar dalam sistem pendidikan sama yang sudah menjadi kebiasaan sekarang.
"Ini masalahnya apabila kita memaksa anak-anak kita mengikut cara kita belajar, dan sebagainya.
"Apabila bercakap tentang sistem pendidikan pada masa hadapan, ia harus disesuaikan dengan apa yang diminati oleh golongan muda.
"Ini bermakna kita harus mengambil tahu apa yang diminati setiap individu ketika mereka masih muda dan bantu mereka mencapai apa yang mereka inginkan," kata Prensky.
Pandangan itu dikongsi beliau dalam satu sesi perbincangan panel yang dikendalikan Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI Kamarul Bahrin Haron.
Dua ahli panel yang lain adalah Pengasas Agastya International Foundation di India Ramji Raghavan dan Pengarah Kemahiran dan Pendidikan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) Andreas Schleicher.
Sesi tersebut merupakan sebahagian daripada program hari kedua Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.