WIEF: Malaysia sasar capai sifar lapar menjelang 2030

Bernama
Ogos 12, 2021 04:16 MYT
Malaysia berada di landasan yang betul (untuk mencapai kelaparan sifar, meningkatkan pendapatan menjelang 2030) dan tambahan US$33 bilion itu tidak perlu dibelanjakan di Malaysia. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada sasaran untuk mencapai sifar lapar serta meningkatkan pendapatan rakyatnya menjelang 2030, menurut seorang penasihat pertanian dan pelaburan.
Pengarah Pertanian, Perdagangan dan Pelaburan dari Institut Pembangunan Antarabangsa Pembangunan Kelestarian Kanada, Carin Smaller mendedahkan dalam satu kajian institut itu baru-baru ini, perbelanjaan tambahan berjumlah US$ 33 bilion (AS$1 = RM4.23) setahun diperlukan sehingga 2030 bagi mengakhiri isu-isu kelaparan, meningkatkan pendapatan petani termiskin selain daripada program pemuliharaan iklim.
"Berdasarkan kajian kami, Malaysia berada di landasan yang betul (untuk mencapai kelaparan sifar, meningkatkan pendapatan menjelang 2030) dan tambahan AS$33 bilion itu tidak perlu dibelanjakan di Malaysia," katanya di webinar Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang bertajuk "Bersemuka untuk Meningkatkan Sistem Makanan Masa Depan" hari ini.
Smaller ketika bercakap mengenai tambahan perbelanjaan sebanyak AS$33 bilion setahun itu berkata jika jumlah tersebut digerakkan pada setiap tahun, ia akan mampu mengeluarkan 500 juta orang di seluruh dunia daripada masalah kelaparan dan menggandakan pendapatan 545 juta petani.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan dua pertiga daripada wang itu diperlukan di Afrika dan dua pertiga daripada jumlah berkenaan akan dibelanjakan di ladang.
"Afrika adalah benua yang amat memerlukan bantuan dan ini disahkan dengan peningkatan tahap kelaparan yang dilihat berikutan COVID-19, yang menyebabkan kenaikan kebuluran berjumlah 50 peratus di Afrika Barat dan 33 peratus lagi di Afrika Selatan," katanya.
Daripada AS$33 juta peruntukkan selama setahun itu, 58 peratus atau AS$19 juta perlu diperoleh dari sumber dalam negeri, yang bermaksud daripada pemerintah di negara berpendapatan rendah.
Selebih 42 peratus lagi atau AS$14 bilion harus berasal dari sumber luaran seperti penderma melalui bantuan atau mekanisme tradisional atau daripada pengumpulan dermawan, katanya.
#sifar lapar #Forum Ekonomi Islam Dunia #WIEF #webinar #Carin Smaller #kelaparan #Afrika #kebuluran #COVID-19
;