WHO bakal pindahkan lebih 100 pesakit dari Gaza

Bernama
November 5, 2024 05:50 MYT
Pada peringkat awal, pesakit akan dibawa ke Mesir melalui pintu sempadan selatan di Kerem Shalom dan Israel. - Foto fail/REUTERS
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merancang untuk memindahkan lebih 100 pesakit dari Semenanjung Gaza pada Rabu, dalam operasi pertama seumpamanya di Wilayah Palestin yang bergolak itu dalam tempoh kira-kira lima minggu.
WHO berkata, mereka yang dipindahkan termasuk individu yang cedera akibat serangan berterusan di Gaza serta pesakit yang menghidap penyakit kronik, menurut laporan agensi berita Jerman (dpa).
Pada peringkat awal, pesakit akan dibawa ke Mesir melalui pintu sempadan selatan di Kerem Shalom dan Israel.
Sebahagian besar daripada mereka akan diterbangkan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), kata Rik Peeperkorn, wakil WHO di wilayah Palestin, dalam satu sidang video. Kira-kira 30 orang akan dihantar ke Romania, katanya.
Sejak pintu sempadan Gaza dengan Mesir di bandar selatan Rafah ditutup pada awal Mei, hanya 282 pesakit yang berjaya dibawa keluar dari Semenanjung Gaza, kata Peeperkorn.
Namun, antara 12,000 hingga 14,000 pesakit lain yang mengalami luka terbakar, kecederaan tulang belakang, amputasi, atau kanser dan lain-lain penyakit juga memerlukan rawatan di luar negara, katanya.
Wakil WHO itu menyeru Israel agar memberikan jaminan keselamatan bagi membolehkan pemindahan pesakit secara berterusan, dan bukan hanya pemindahan untuk perubatan sekali-sekala.
"Kami tidak boleh meneruskan cara yang dilakukan sekarang," kata beliau. - BERNAMA-dpa
#WHO #pesakit #Semenanjung Gaza #pindah
;