What's in a Name: Malaysia harus kembali bina semula sistem negara, satu lagi platform perundingan diperlukan - Nazir

Firdaus Azil
November 7, 2021 12:03 MYT
Dalam usaha kembali memakmurkan dan memasyhurkan negara, apa yang harus diberi perhatian ialah keperluan Malaysia memerlukan satu lagi platform musyawarah seperti Majlis Perundingan Negara, kata Nazir Razak.
KUALA LUMPUR: Dalam mengupas persoalan bagaimana mahu kembali memakmurkan dan memasyhurkan negara, apa yang harus diberi perhatian ialah keperluan Malaysia memerlukan satu lagi platform musyawarah seperti Majlis Perundingan Negara.
Dari kaca mata Pengerusi dan Pengasas Bersama Ikhlas Capital, Datuk Seri Nazir Razak, langkah itu penting selepas melihat skala masalah dihadapi negara hari ini.
Bahkan, kebimbangan tambah berganda melihat siri kegagalan yang dilakukan kerajaan dari pelbagai parti dalam membuat pembaharuan sistem.
Bagi Nazir, projek membina Malaysia yang lebih baik adalah dengan memastikan tidak berlaku politik identiti, politik wang dan penumpuan kuasa.
"Campur tangan luas kerajaan di dalam ekonomi di atas nama Dasar Ekonomi Baru ditambah pula dengan persaingan politik intra-Melayu yang semakin sengit pada pertengahan tahun 1980-an menimbulkan apa yang dipanggil 'raksasa berkepala tiga', politik identiti, politik wang, dan penumpuan kuasa.
“Raksasa tersebut memusnahkan idea yang paling inovatif serta inisiatif pembaharuan yang tulen.
"Contohnya, Koridor Raya Multimedia , sebuah fikiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang sangat berpandangan jauh, namun gagal melepasi projek hartanah.
“Selain itu, model Ekonomi Baru diperkenalkan Datuk Seri Najib pula hanya mampu mengumpul habuk di atas rak," kata Nazir merungkai pendapatnya seperti yang terkandung dalam memoir tulisan tokoh perbankan itu, What’s in a Name.
Dalam memoir setebal 358 muka surat itu, Nazir berkongsi buah fikiran terhadap bagaimana Malaysia harus dibina semula bagi mengembalikan semula kedudukan sebagai negara yang berdaulat.
Tidak ketinggalan dalam memoir yang akan dilancarkan esok (8 November) juga, bekas Pengerusi CIMB Berhad itu juga mendedahkan mengenai skandal kewangan terbesar, 1MDB yang turut mengheret abanganya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga bekas Perdana Menteri ke-6.
BACA: What's in a Name: Sampai bila raksasa berkepala tiga akan ganggu Malaysia? - Nazir
BACA: Kisah Nazir Razak - What's in a Name
Membicarakan lanjut soal pembinaan semula Malaysia, Nazir berkata, sejarah telah mengajar negara bahawa ketegangan komuniti amat mudah diapi-apikan apabila agama dicampuradukkan dengan isu-isu lain.
"Bagi sebuah negara di mana identiti orang Melayu telah sinonim dengan identiti orang Islam, agama secara tidak sengaja menjadi alat politik. Ini menyemarakkan lagi perpecahan yang terhasil antara orang Melayu dan bukan Melayu," kata Nazir dalam tulisannya itu.
Dalam memastikan perpecahan dalam negara dihindari, setiap rakyat Malaysia, nasihat Nazir, bertanggungjawab mengelak menyalahgunakan agama dan sentiasa berfikiran wajar.
"Islam kosmopolitan merupakan satu naratif teguh yang menyokong bangsa Malaysia. Bangsa Malaysia perlu berada di barisan hadapan Majlis Perundingan Negara baharu yang amat kita perlukan.
"Saya bimbang jika kita tidak menetapkan semula negara ini, kita akan terus dibelenggu dengan pertumbuhan ekonomi hambar, politik yang kelam-kabut dan masyarakat yang berpecah-belah," jelas beliau lagi.
Kerana itu, Nazir tegas dengan pendiriannyua bahawa keadaan negara masa kini menuntut setiap orang untuk mencapai ketetapan semula sistem.
#Nazir Razak #1MDB #What's in A Name #Di Sebalik Nama
;