What's in a Name: Kerana pertalian darah, Nazir urus duit Najib, akhirnya menyesal...
Firdaus Azil
November 9, 2021 11:00 MYT
November 9, 2021 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Keempat-empat anak lelaki Allahyarham Tun Abdul Razak – Nizam, Nazim, Johari, dan Nazir, mempunyai peranan secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan abang sulung mereka, Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri yang berjaya.
Datuk Seri Nazir Tun Razak, dalam memoirnya bertajuk ‘What’s in a Name’ berkata, beliau pada ketika itu sangat berbangga melihat abangnya menyambung legasi ayahanda mereka dan sebarang pertuduhan salah laku diketepikan atas semangat adik-beradik.
Kongsi Nazir lagi, selepas Najib menjadi Perdana Menteri pada 2009, abangnya pernah meminta pertolongannya berhubung soal kewangan parti sewaktu negara menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2013.
“Beliau ketika itu dalam mod mengumpul dana. Saya tahu daripada rakan-rakan perniagaan saya, mereka sentiasa menyumbang dana untuk kempen politik.
"Sedikit luar daripada kebiasaan apabila sewaktu era Najib, mereka diminta menyalurkan wang ke akaun bank, bukan secara tunai.
“Satu hari, abang saya perlukan pertolongan untuk menukar dana tersebut dalam bentuk tunai.
"Najib sedang dalam tekanan kerana beliau perlu memenangi PRU pertamanya sebagai pemimpin utama UMNO,” kata Nazir lagi.
Pengasas firma Ikhlas Capital itu berkata demikian dalam memoirnya bertajuk "What’s in a Name" dalam bab bertajuk ‘Najib’s Rise’ yang memperincikan keraguan beliau terhadap penubuhan 1MDB, serta hubung kait dana itu dengan Najib.
Biografi setebal 358 muka surat itu, memperincikan pengalaman Nazir dalam membangunkan CIMB sebagai institusi berperanan membawa Asean keluar dari Asian Financial Crisis.
Selain itu, terdapat juga bab-bab di mana Nazir berusaha menjunjung legasi ayahnya, Abdul Razak serta perkongsian tentang penubuhan 1MDB yang akhirnya menyebabkan kejatuhan abangnya, serta Barisan Nasional (BN).
Berkongsi lanjut, tokoh perbankan itu berpendapat, permintaan abangnya bukan menjadi masalah, kerana Najib bukan memohon pinjaman daripada CIMB atau Nazir sendiri, tetapi cuma perlu menukar cek kepada tunai dengan kadar segera.
Tambahnya lagi, Najib ketika itu berkata, cek tersebut akan dikeluarkan dari akaun peribadi AmBanknya.
“Saya kata, satu-satunya jalan untuk saya membantu beliau adalah dari sudut persendirian… bukan sebagai CIMB.
"Jadi saya mewujudkan satu akaun khas untuk menguruskan transaksi Najib di bawah nama saya sendiri.
“Memandangkan cek itu dari AmBank, saya tahu bank itu akan membuat langkah pemeriksaan terhadap sumber wang tersebut bagi mematuhi peraturan anti penyelewengan dana.
"Jadi saya tiada alasan untuk meragui sumber wang itu,” katanya lagi.
Nazir berkata, Najib ketika itu meminta pertolongan beliau untuk menukar empat keping cek berjumlah RM27.5 juta, kepada bentuk tunai dan apabila wang itu diperlukan, seseorang akan datang mengambilnya di bank.
“Saya tidak pernah menyimpan, atau menggunakan walau sesen pun dari dana tersebut. Saya sangka saya sedang menolong abang saya, memainkan peranan tanpa melanggar undang-undang atau peraturan.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk menyoal sumber dana tersebut. Sudah tentu, selepas itu saya amat menyesal kerana terlibat dalam transaksi itu,” katanya lagi.
Ini merupakan antara siri pendedahan bekas Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Tun Razak berkenaan 1MDB dalam memoirnya bertajuk – What’s in a Name’ yang dilancarkan semalam (8 November).
(Ikuti wawancara eksklusif bersama Datuk Seri Nazir Razak di saluran 501, astroawani.com dan semua aplikasi Astro AWANI pada pukul 8.30 malam ini)