'Wellness Hub' akan diwujudkan di setiap hospital - Menteri Kesihatan
Israr Khalid
Februari 22, 2023 05:00 MYT
Februari 22, 2023 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Bagi mencapai matlamat menjadikan rakyat Malaysia hidup lebih sihat, Kementerian Kesihatan akan memperkenalkan hab kesihatan atau ‘Wellness Hub’ di setiap hospital di seluruh negara.
Kata menterinya, Dr Zaliha Mustafa, inisiatif tersebut akan menjadi pemangkin untuk orang ramai lebih menitikberatkan perihal penjagaan kesihatan fizikal dan mental sebelum penyakit melanda.
Sebagai permulaan, beliau memaklumkan bahawa hab kesihatan yang pertama telah dibuka di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 19 Februari tempoh hari.
“Ada program seperti contohnya perkhidmatan berhenti merokok, merawat obesiti dan kaunseling untuk kesihatan mental, macam-macam kita perkenalkan di ‘Wellness Hub’ itu.
“InsyaAllah apabila inisiatif ini dilaksanakan di hospital-hospital lain rakyat sekitarnya boleh mengambil peluang untuk bersama memainkan peranan di situ,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
‘Wellness Hub’ adalah satu daripada inisiatif di bawah pelan Tawaran Baharu KKM untuk meningkatkan kualiti kesihatan rakyat dengan mempromosikan gaya hidup sihat, perkhidmatan promosi kesihatan, kawalan kendiri dan kebersihan persekitaran.