WEF24: Malaysia sertai pakatan peralihan tenaga bersih negara membangun
Najib Aroff
Januari 17, 2024 23:40 MYT
Januari 17, 2024 23:40 MYT
DAVOS: World Economic Forum (WEF) mengumumkan pakatan baharu bagi meningkatkan kesedaran berkaitan keperluan tenaga bersih, berkongsi amalan terbaik dan mempercepat transisi tenaga dalam kalangan negara membangun.
Pakatan Network to Mobilize Clean Energy Investment for the Global South merangkumi lebih 20 Ketua Pegawai Eksekutif dan Menteri termasuk dari negara seperti Colombia, Mesir, India, Jepun, Malaysia, Maghribi, Namibia, Nigeria, Norway, Kenya, dan Afrika Selatan.
Melalui pakatan itu, satu ruang kerjasama diwujudkan untuk negara anggota untuk mempercepat penyelesaian modal untuk tenaga bersih, melalui dasar yang berinovasi, model perniagaan baharu, dan mekanisme pembiayaan.
Selain itu, negara anggota akan turut berkongsi amalan terbaik untuk menarik kemasukan modal dalam teknologi baharu yang lebih mampan.
“Mempercepatkan peralihan tenaga bersih adalah penting untuk menangani kecemasan iklim, tetapi tahap pelaburan semasa kekal jauh di bawah skala dan kadar perubahan yang diperlukan.
“Membuka ruang kepada pembiayaan bukan sahaja langkah pertama yang penting ke arah sistem tenaga yang selamat dan saksama, tetapi mewakili peluang yang jelas untuk perniagaan, kerana ekonomi sedang pesat membangun menyumbang bahagian terbesar penduduk global," kata Roberto Bocca, Ketua Pusat Tenaga dan Bahan WEF.
Pakatan itu akan dipengerusikan oleh dua pemimpin global iaitu Menteri Kerjasama Antarabangsa Mesir, Rania A. Al-Mashat, dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Afirca Finance Corporation, Samaila Zubairu.
“Kerjasama ini akan memainkan peranan penting dalam menyatukan peserta industri awam dan swasta untuk menentukan keperluan pelaburan, memecahkan halangan, dan mencari penyelesaian praktikal untuk peralihan tenaga yang adil, saksama dan mampan di Global Selatan.
“Ini akan menjadi ruang baharu untuk ekonomi sedang pesat membangun bertukar-tukar amalan terbaik dan pengajaran yang dipelajari, serta memupuk kerjasama di sekitar strategi rantaian nilai, dasar kawal selia dan mekanisme pelaburan,” kata Rania.
Keseluruhan pelaburan tahunan bagi tenaga bersih di rantau Global Selatan perlu mencapai tahap tiga kali ganda berbanding AS$770 bilion ketika ini kepada AS$2.2 trilion hingga AS$2.8 trilion menjelang 2030.
Global Selatan merangkumi negara pesat membangun berdasarkan definsi oleh Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) melibatkan Afrika, Amerika Latin dan Caribbean, Asia (Jepun, dan Korea Selatan), dan Oceania (tidak termasuk Australia dan New Zealand).