WEF2023: Perlu wujudkan pusat sehenti pemudah cara pelabur - Tengku Zafrul

Israr Khalid
Januari 19, 2023 11:20 MYT
Tengku Zafrul harap ada peruntukan khas untuk tujuan itu dalam Bajet yang akan diumum bulan depan. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang mensasarkan peningkatan pelaburan berimpak tinggi di negara ini dapat dicapai apabila kita mewujudkan ekosistem yang memudahcarakan para peniaga dan pelabur.
Justeru, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melihat bahawa perlunya ada pusat sehenti yang dapat memberi keselesaan lantas menggamit lebih banyak pelaburan ke Malaysia.
Ketika ini ramai melihat negara ini sebagai tempat yang mudah birokrasinya berkenaan urusan perniagaan dan perdagangan, namun Tengku Zafrul merasakan ia boleh ditambah baik.
“MITI dan agensinya seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, kita semua kena buat satu macam ‘one-stop centre’.
“Kalau boleh bersama dengan kementerian-kementerian lain berkaitan supaya kita dapat hasilkan satu proses yang memberi kepuasan kepada pelanggan,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Perancangan tersebut katanya masih di peringkat awal, maka beliau berharap akan ada satu peruntukan khusus untuk tujuan itu dalam Bajet yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada Februari nanti.
WEF2023: Perlu wujudkan pusat sehenti pemudah cara pelabur - Tengku Zafrul
#Agenda Awani #WEF2023
;