WEF2023: Pakar di dalam PBT perlu ditambah - Pengerusi UN-Habitat
Israr Khalid
Januari 19, 2023 12:21 MYT
Januari 19, 2023 12:21 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih ramai pakar diperlukan untuk berada di dalam kerajaan tempatan bagi menggerakkan usaha membentuk komuniti yang lebih sejahtera dan bertaraf dunia.
Demikian pendapat disuarakan Pengarah Eksekutif UN-Habitat Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif yang menggesa supaya kerajaan melihat semula pengisian serta struktur pihak berkuasa tempatan (PBT).
Jumlah pegawai yang mempunyai kepakaran dalam bidang diperlukan, perancangan bandar khususnya, terlalu sedikit, katanya berdasarkan pengalaman lepas.
“Saya dahulu Datuk Bandar Pulau Pinang dan Seberang Perai. Ketika itu, di Seberang Perai kita ada tiga pegawai perancang bandar untuk mentadbir 738 kilometer persegi. Tak cukup.
“Ketika menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan (MALA) dahulu pun, isunya memang tak cukup dari segi pegawai perancang bandar, arkitek, jurutera di setiap PBT, untuk melaksanakan apa yang kita nak capai berkenaan kelestarian itu,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Walau bagaimanapun, sehingga isu tersebut dapat diselesaikan kelak, pegawai PBT sedia ada perlu juga memikirkan solusi kepada cabaran yang didepani itu.
Antaranya, PBT boleh menjalin kerjasama dengan universiti awam dan swasta serta sektor swasta yang mempunyai pakar masing-masing yang dapat membantu usaha mereka.