WEF2023: Model ekonomi berasaskan KDNK mungkin sudah tak relevan - Dr Jemilah Mahmood

Israr Khalid
Januari 17, 2023 23:57 MYT
JEMILAH: Adakah dalam kita meningkatkan KDNK itu wujud ekuiti dalam masyarakat? - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tiada gunanya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus meningkat tetapi rakyat masih terus hidup terhimpit.
Bagi Pengarah Eksekutif Sunway Centre of Planetary Health, Sunway University, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, mungkin sudah tiba masanya pencapaian KDNK tidak lagi relevan untuk terus dijadikan kiblat model ekonomi negara hari ini.
Beliau berpendapat bahawa kemajuan sesebuah negara itu bergantung kepada kesejahteraan rakyatnya, bukan berapa banyak perolehan kewangannya semata-mata.
“Adakah dalam kita meningkatkan KDNK itu wujud ekuiti dalam masyarakat? Maknanya KDNK itu tinggi tapi ada masyarakat yang sengsara.
“Itulah yang disebutkan perlunya wujud ‘ekonomi regeneratif’ - bagaimana kita boleh berjaya mendapat satu ekonomi yang kencang, maju ke depan tanpa kita hiraukan KDNK itu naik atau tidak tetapi yang penting masyarakat semua mendapat keperluan mereka, negara maju dan makmur,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Begitupun, untuk sesebuah negara itu berjaya, kata Dr Jemilah, seluruh anggota masyarakat, bisnes dan sivil, perlu bekerjasama dan mencari penyelesaian yang menyeluruh bersama.
Model ekonomi berasaskan pencapaian KDNK mungkin sudah tidak relevan - Dr. Jemilah Mahmood
#Agenda Awani #WEF2023 #Dr Jemilah Mahmood #KDNK
;