WEF2022: Fokus Malaysia tangani krisis secara jangka panjang

Najib Aroff
Mei 25, 2022 12:51 MYT
Tengku Zafrul akan muncul dalam sesi bertajuk "Taking The Long View" di Forum Ekonomi Dunia (WEF 2022) yang akan disiarkan secara langsung di Astro AWANI jam 7 malam ini (waktu Malaysia). -WEF
DAVOS: Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberi tumpuan kepada cara bagaimana mewujudkan fokus kepada pelan jangka panjang dalam keadaan ekonomi yang mencabar pada ketika ini.
Beliau bakal muncul dalam sesi bertajuk “Taking The Long View” di Forum Ekonomi Dunia (WEF 2022) di Davos, Switzerland yang akan disiarkan secara langsung di Astro AWANI pada jam 7 malam ini (waktu Malaysia).
Turut sama dalam sesi dialog tersebut adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, The Atlantic Council, Frederick Kempe; Presiden New Development Bank (NDB), Marcos Troyjo; dan Ketua Pegawai Eksekutif Dubai Future Foundation, Khalfan Belhoul.
Melalui sesi itu, Tengku Zafrul dijangka berkongsi idea dan pandangan tentang cara pengurusan terbaik dalam berdepan kemahuan banyak pihak untuk hasil jangka pendek ketika mana dasar ekonomi memerlukan pandangan jangka panjang.
Malah, menurut WEF, kemahuan mendapatkan hasil dalam jangka pendek kerap menjadi halangan besar dalam pembuatan dasar di peringkat kerajaan mahupun sektor swasta.
Justeru, sesi berkenaan akan memberikan tumpuan tentang bagaimana pemimpin boleh mengekalkan fokus jangka panjang di sebalik perkembangan ekonomi dan tuntutan semasa oleh pelbagai pihak.
Topik ini dilihat cukup penting kerana pengurusan krisis memerlukan fokus jitu dalam pembuatan dasar dan mengambil kira semua situasi ekonomi semasa termasuk dalam membuat unjuran pertumbuhan.
Tengku Zafrul ketika ditemui Astro AWANI pada hari pertama WEF di Davos berkata, semua perancangan ekonomi sudah mengambil kira perkembangan global dalam segenap aspek termasuk konflik di Ukraine.
“Kita sudah lihat gangguan rantaian bekalan telah mengakibatkan kenaikan harga dan kekurangan buruh bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia juga.
“Kita akan dapat membuat perbincangan bagaimana secara kolektif negara-negara maju dan membangun dalam jangka masa panjang, sederhana dan pendek, apakah langkah-langkah dan dasar-dasar yang perlu diambil terutamanya apa yang kita lihat sekarang konflik Rusia dan Ukraine ini masih lagi berlaku,” katanya.
Astro AWANI bakal membawakan perincian sesi dialog tersebut di platform media sosial kami malam ini.
#Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz #WEF #Forum Ekonomi Dunia #perancangan ekonomi
;