WEF gemakan wawasan, keterbukaan Malaysia melalui tiga hasrat
Nickyson Nyambar
April 29, 2024 23:49 MYT
April 29, 2024 23:49 MYT
KUALA LUMPUR : Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) menjadi platform untuk Malaysia menggemakan keterbukaan jalinan kerjasama untuk melonjakkan ekonomi negara seiiring tiga hasrat yang menjadi tema forum ini - kerjasama global, pertumbuhan dan tenaga untuk pembangunan.
Hari ketiga lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Riyadh, Arab Saudi membawa wawasan Malaysia memperkasa hubungan bilateral antara negara, selain perbincangan mengenai pelaburan dan usaha mengukuhkan jalinan kerjasama sedia ada.
"Dalam sesi Bank Pembangunan Islam (IsDB) yang menyambut ulang tahun 50 tahunnya, saya sempat bertemu dengan Perdana Menteri beberapa negara termasuk Iraq, Pakistan, Qatar, Jordan dan Rwanda.
"Saya mengambil kesempatan daripada kehadiran mereka untuk memperkukuh hubungan dua hala terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
"Kemudian dengan kehadiran ini, kita manfaatkan (peranan) Suruhanjaya Sekuriti untuk meningkatkan keupayaan serta kekuatan pelaburan kewangan dan dana Islam yang melibatkan kerjasama Bank Negara (BNM), Kementerian Kewangan, Khazanah Nasional dan Bank Pembangunan Islam," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Mesyuarat Khas WEF pada Isnin.
Turut menyertai sidang media itu, Menteri Luar Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Antara lain yang menjadi sorotan hasil perbincangan pada Isnin termasuk pelaburan dua nama gergasi dalam industri hiliran minyak dan gas global, Saudi Aramco serta syarikat nasional Petronas dengan nilai sehingga AS$8 bilion.
"Perbincangan kita dengan beberapa syarikat terutama yang mengambil keputusan untuk melabur di Malaysia melalui Petronas yang diketuai oleh Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz mengenai penyertaan Saudi Aramco besar-besaran di Pengerang, Johor.
"Kemudian beberapa rundingan dengan Khazanah yang diwakili oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, termasuk perbincangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengenai pelarasan berkaitan dengan syarikat-syarikat utama," tambah beliau lagi.
Mesyuarat itu, yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Raja Abdul Aziz dihadiri oleh ketua-ketua negara serta kerajaan selain pemimpin industri.
Dalam hasil lawatan itu juga, Datuk Seri Anwar dan delegasi Malaysia turut mengadakan mesyuarat meja bulat bersama lebih 50 pemimpin industri dan perniagaan pelbagai sektor dari seluruh pelusuk dunia di mesyuarat khas ini.